Wednesday, October 27, 2010

The Groynes In The Spring

Ingin melarikan diri dari kesibukan di kota ? 


The Groynes, menggamit hati sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Jika anda ingin menghirup udara segar, berehat untuk menenangkan fikiran, menikmati persekitaran yang hijau dan nyaman dan mendengar deruan air sungai yang mengalir di sekelilingnya, datanglah bertandang ke taman ini. Sambil mata menikmati keindahan alam semulajadi, telinga anda akan dijamu pelbagai bunyi unggas dan serangga, serta kicauan merdu bunyi sang burung yang berterbangan bebas di angkasa. Kelihatan anak-anak itik berenang-renang dengan riangnya di permukaan air sungai yang mengalir jernih. Sekiranya anda mendongak ke langit akan terlihat banyak debunga tumbuhan bermusim berterbangan di udara.



Ku bersyukur padaMu Ya Allah dapat berada di sini!

Sempena sambutan cuti Hari Pekerja pada 25hb Oktober 2010 yang lalu, Malaysian Postgrads and Families telah mengambil kesempatan mengadakan satu aktiviti riadah bersama keluarga iaitu piknik dan barbeques di The Groynes, yang terletak 9 km di Utara Barat Christchurch. Pada keseluruhannya, aktiviti yang disertai lebih kurang 50 orang ahli serta ahli keluarga ini dijalankan secara ringkas dan sederhana, tetapi ia telah mencapai matlamat dimana setiap ahli dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi antara satu sama lain. Di samping itu telah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli serta keluarga. 


Seawal jam 11.15 pagi  aku dan suami telah berkumpul di perkarangan rumah Kak Shidrah untuk mengikuti konvoi bersama-sama keluarga Kak Shidrah, Kak Mas, Saba, dan Kak Rita. Konvoi mula bergerak pada jam 11.20 pagi menuju ke Groynes Park. Perjalanan hanya mengambil masa selama 20 minit. Konvoi tiba di persimpangan jalan masuk dan bergabung dengan beberapa lagi keluarga Malaysian Postgrads yang hadir pada hari tersebut.



Alhamdulillah, walaupun agak ramai pengunjung pada hari tersebut  kami telah berjaya mendapatkan tapak yang luas untuk berpiknik yang bersebelahan dengan anak sungai. Acara pertama dimulakan dengan semua ahli bekerjasama mengemas barang-barang keperluan seperti makanan dan minuman. Seterusnya aktiviti yang amat ditunggu iaitu memasak BBQ ayam, angsa hitam, daging lembu, rusuk kambing serta sosej dan cendawan. Sementara menunggu BBQ kami menjamu selera dengan pelbagai hidangan potluck antaranya nasi beriyani, mee goreng, fish pie, salad sayuran, nasi daging kerutub, apam balik dan bermacam lagi juadah yang disediakan oleh rakan keluarga Postgrads. 

Jutaan terima kasih kepada Kak Rita dan keluarga yang mengelolakan aktiviti ini dan tidak lupa juga kepada semua ahli yang memberi sokongan serta kerjasama dari mula hingga akhir di sepanjang aktiviti ini dijalankan. Semoga aktiviti sebegini dapat meninggalkan kenangan yang manis bagi semua ahli. 

TAHNIAH DAN SYABAS kepada semua!

In the end... myself, hubby, Adel and Adam had a great time and a nice couple of hours at the Groynes.

 Adel get ready to launch the Iron Man.

Adam and fans.

Me, Adam and the green grass.

Me and My beloved husband.

And my masterpiece... Fish Pie fresh from the oven!

Saturday, October 23, 2010

Yeah! Saya sudah 5 bulan...


Catatan Bulan Ke-5 buat Mama...

Hari ini genap usiaku 5 bulan. Alhamdulillah, diri berasa beruntung kerana pada usiaku ini aku masih lagi memilih susu ibu sehingga kebutuhan nutrisinya dapat terpenuhi.

Terukir senyuman di bibirku melihat kelibat mama berada dekat denganku. Mama sering berkomunikasi denganku. Untuk tidak menghampakan mama aku sudah berupaya untuk menunjukkan ekspresiku yang tersendiri. Tertawa dan membuat berbagai suara dengan menggunakan lidah dan bibirku yang mungil. Mama begitu prihatin dengan keperluanku. Ternyata diriku sudah bisa mengeluarkan suara dan bunyi yang berbeda untuk memberitahu mama bahawa diriku sudah lapar, letih, atau sekadar ingin bermain-main. Jika aku ketawa, senyum, menangis, dan meragam mama akan segera memberi respons terhadapku. 



Berkaitan dengan perkembangan fizikal, pada tahap ini aku sangat menyukai untuk ditegakkan dalam posisi duduk. Untuk pertama kalinya, aku akan duduk dengan condong ke hadapan. Biasanya mama akan menyokong belakangku dengan bantal. Hmmm... nampaknya aku semakin bertambah kuat dan stabil dalam posisi duduk ini. Di bulan Ke-5 usiaku, gerakanku  semakin bervariasi. Otot leher dan otot tangan semakin menguat. Kini aku sudah pandai berputar dengan menggunakan tangan. Ketika diletakkan terlentang, aku akan menggunakan tangan untuk mendorong dan berguling membalikkan badanku. Bukan hanya berguling. Kini kaki kecilku pun semakin lincah menendang, menggeserkan kaki dan mendorong-dorongkan kakiku ke belakang. Seiring dengan lincahnya gerakan kakiku, otot leher dan punggungku pun menjadi lebih kuat. 
Di usia ini juga aku mulai tumbuh gigi. Gusiku sudah terlihat putih-putih dan banyak mengeluarkan air liur. Apabila mama terleka dengan cepat aku memasukkan kepalan tanganku ke dalam mulut. Aku sering menggosok-gosokkan gusiku dan menggigit tanganku. Aku juga sudah mulai tertarik melihat makanan. Sering aku memerhatikan makanan yang ada di piring mama, bahkan mencuba untuk meraihnya dan memasukkan ke dalam mulutku. Memasuki usia 5 bulan aku diberi makanan lembut. Buah Pear yang dipureekan; makanan pertamaku. Dengan lajunya aku memasukkan makanan dengan lidahku ke bahagian belakang mulut. Satu, dua, tiga suap dan aku sudah tersandar kekenyangan... Adam tidur dulu ya Mama...



Tuesday, October 19, 2010

Gempa susulan kembali bergegar di Christchurch.



Allah Hu Akbar !!!
Christchurch terus bergegar lagi apabila gempa susulan dengan kekuatan 5.0 magnitud pada skala Richter berlaku dalam tempoh 15 ke 20 saat.
Menerusi sumber GeoNet, gempa susulan yang melanda awal hari ini dikesan pada jam 11.32 pagi, pada kedalaman 9km berpusat kira-kira 10km ke Selatan-Barat Christchurch. Ekoran kejadian yang baru melanda itu, telah membuatkan kepalaku rasa pening malah hampir sahaja mahu termuntah. 
Tika aku menulis entri kali ini, kepalaku masih lagi berdenyut-denyut.
"Ya Allah, kuatnya gegaran kali ini". 
Ketika kejadian, aku dengan pantasnya menarik anakku Adel dan menggendong Adam yang sedang menangis teresak-esak masuk ke bawah meja. Dalam keadaan cemas dan masih terkejut itu, Adel sempat berkata, "Mama, mama kita nak main sorok-sorok ke mama?". 
Aku membiarkan sahaja soalan Adel itu tidak berjawab. Jantungku sudah berdegup dengan kencang. Seluruh tubuhku menggeletar. Ini adalah kerana kejadiannya berlaku tanpa amaran, menakutkan dan menggerunkan sesiapa sahaja.
Tiba-tiba kerusi dan meja tempat kami berlindung mula bergegar kuat. Rumah sudah mula bergoyang-goyang seolah-olah dipukul oleh gerakan ombak yang bergelombang besar dan bergulung-gulung. Aku tidak pasti apa yang perlu dilakukan lagi. 
Aku cuba bersikap tenang dan mengawal diriku. Semoga gempa susulan kali ini bergegar untuk masa yang singkat, cuma beberapa saat sehingga ianya berakhir. 




Thursday, October 14, 2010

Another aftershock in Canterbury

Suasana panik tercetus sekali lagi pada jam 4.53 petang semalam. Satu lagi gempa susulan dirasai dengan kekuatan mencecah 5.02 skala Richter dengan gegaran selama 10 saat. 

Terdahulu, gegaran telah mula dirasai sekitar jam 1.30 tengah hari dengan magnitud 4.1.

Kesan kekuatan gegaran gempa susulan itu turut dilihat apabila lantai rumah tempatku berpijak bergegar-gegar. Dinding dapur bergoyang seolah-olah aku mengelungsur ke lautan tika lautan ombak bergelora. Pinggan ditanganku hampir sahaja terlepas ke dalam mangkuk sinki.  

Dan setiap detik yang berlalu membuatkan hatiku terus berdebar-debar dan cemas saat gempa susulan yang berlaku itu. Degupan jantungku semakin laju dan kencang. Bebola mataku lantas mencuri pandang ke arah suamiku untuk mencari kekuatan. Ketika itu, yang terlintas di fikiran hanyalah nasib Adel dan Adam, dua orang anakku yang masih lagi kecil. Aku mula memikirkan yang bukan-bukan. Gempa susulan itu sekaligus mengembalikan nostalgia yang menghantui fikiranku akibat tragedi filem 2012 yang baruku tonton pada 2 hari yang lepas. Rumah penduduk runtuh, bangunan ranap menyembah bumi, suara jeritan dan tangisan penduduk yang lari bertempiaran berada di mana-mana, penduduk seolah-olah hilang punca serta tidak tahu di mana hendak mengadu nasib, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus, dan panorama kemusnahan demi kemusnahan seolah-olah kiamat sudah tiba berlegar-legar di kepalaku. Sungguh jauh fikiranku terbang melayang.

Sejenak aku terkesima. Aku cuba menenangkan diri dan beristighfar panjang.

Segeraku bermuhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran. Aku dan keluargaku masih lagi berada di bawah lindunganNya. Sebagai umat Islam yang menyakini adanya Allah s.w.t , adanya kuasa tuhan, adanya alam akhirat, mungkin kejadian ini sebagai tanda amaran dari Allah agar kita mendekatkan diri kepadaNya.


"Ya Allah, kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah). Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, nabi yang mulia, kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda amnya."

Insan beriman di kala pagi ia bertasbih dan berdoa, di kala petang tetap kerendahan jiwanya dengan berzikir dan mengingati Allah. Di kala malam hari, ia semakin menundukkan dirinya kepada Pencipta Yang Agung. 

Semoga aku senantiasa mengambil pandangan positif sebagai bentuk muhasabah diriku ini yang tidak seberapa amalannya, yang sentiasa mengharap untuk menjadi mukmin sejati. Semoga bibirku sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan Yang Maha Pencipta, dan kemudian sentiasa berdoa dan mengharapkan keredhaan-Nya. 

InsyaAllah.









Friday, October 8, 2010

A peek at the inside of tulips


Kasihan si Adam. Matanya yang bulat itu meraih simpatiku.

Hari ini bayi kecilku, Adam meragam lagi. Adam mula menunjukkan tanda-tanda tumbuh gigi. Usia Adam sudah menjangkau 4 bulan minggu yang kedua dengan berat 8.5 kg dan ketinggian 68 cm.  

Adam sudah pandai menggigit. Itu menunjukkan kelenjar liurnya menjadi aktif dan aku juga perlu menjadi kreatif. Adam suka gusinya digosok. Nasib baik ada kain bedung yang makcik Ju nya jahitkan dari Malaysia. Kain bedung itu jugalah yang dihisap dan menjadi rakan sepermainan.  

Adam menangis lagi.

Langsung tak boleh berenggang walaupun sekejap. Letihnya badan. Leher, bahu dan pergelangan tangan sudah berasa lenguh. Sengal-sengal mulai merayap di bahagian belakang dan pinggang.

Hari yang kurang produktif. Agenda hari ini terpaksa ku tangguhkan lagi. Mujur si Adel sudah pandai membawa diri. Leka dengan mainan LEGO barunya. Terima kasih, atuk! Adel dapat duit poket barulah dapat beli mainan LEGO ni. Adel cakap nak buat rumah 'atuk house'.

Dan Adam menangis lagi.

Lewat petang, suamiku pulang sambil memunggah barang-barang keperluan rumah keluar dari but kereta.

Kepulangannya ku sambut dengan senyuman. Dan senyumanku semakin melebar melihat barangan yang terakhir. Hilang sudah kepenatan seharian. Sengal dan lenguh sudah tidak terasa lagi.

And say, Yes !!! to Tulips. My Tulips.

Terima kasih, abang.

Monday, October 4, 2010

Our new New Zealand home

Masa terus berlalu dengan begitu pantas. Sedar tak sedar sudah 19 hari pengembaraanku di bumi Aotearoa. Anakku yang sulung, Adel sibuk dengan play-acting. Adam sudah lama melelapkan matanya. Hmmm... waktu terluang begini membolehkan aku mengemaskini blog yang telah lama tak ku lawati.

Tropics Superlink, Palm Villa and Golf Residences IOI Bandar Putra, Kulai. Istana pertama kami di Malaysia. Melihat koleksi gambar rumah teres 2 tingkat, membuatkanku mengimbau kembali kenangan pahit dan manis bersama ahli-ahli keluarga yang datang mengunjungi kami pada waktu terluang. Keriuhan suara kak long, abang Din, kak Ju, abang Man, Tasya dan Aqilah memenuhi ruang tamu. Oh rindunya dengan kenangan itu... 3 famili Kulai.

[Bandar Putra, Kulai Johor Malaysia]

Avonhead, Christchurch New Zealand. Baru sekarang diri ini menyedari, sesungguhnya ada hikmah di atas segala kesukaran dan bermacam-macam halangan yang terpaksaku tempuhi untuk sampai ke sini. Saat yang paling sukar adalah apabila berjauhan dengan suami tercinta dalam tempoh berpantang selepas melahirkan Adam. Sukarnya mengawal mental dan emosi. Penatnya memujuk hati dan memendam rasa hati.

Kini aku lebih tenang.

Ketenangan yang dikurniakan Allah yang kini menjadi milikku. Nikmatnya memiliki sebuah ketenangan. Hati ini tenang biarpun tinggal di negara yang majoritinya bukan seagama mahupun sebangsa. Hati ini bahagia biarpun dengan duit yang terpaksa dijimatkan. Hati ini lebih ceria walaupun menghuni rumah yang jauh lebih kecil daripada rumah di Malaysia.

Kadangkala hatiku berbisik dan tertanya-tanya, mengapa lebih mudah mencari ketenangan di negara orang, namun sukar menemuinya di negara sendiri.

Subhan'Allah... Allahu Akbar... Astaghfirullah... semoga aku termasuk di dalam golongan manusia yang senantiasa bersyukur.

[Avonhead, Christchurch New Zealand]


[NZ House warming and Raya Celebrations]