Monday, April 4, 2011

Gamitan Hokitika Gorge yang memukau!

Hokitika, Selasa



Pada hari terakhir sebelum meninggalkan bumi West Coast, kami berpeluang untuk bermesra dengan alam semula jadi di Hokitika Gorge. Pukauan panorama Hokitika Gorge memberikan terapi yang paling baik untuk minda, emosi dan fizikal. Justeru, bagi pencipta alam yang dahagakan sentuhan suasana seperti itu, bolehlah mengunjunginya. 


Hokitika Gorge terletak 33 kilometer dari bandar Hokitika - antara lokasi menarik dan mengkagumkan. 

Semuanya bagaikan mimpi tatkala dikejutkan dengan realiti... begitulah hebatnya kuasa Sang Pencipta Alam Maya ini. 




Rahsia Warisan Dunia di Westland Glacier Country

Hokitika, Isnin

Cuaca pagi cukup sesuai untuk berjalan jauh. Udara sungguh segar dan nyaman. Pancaran matahari yang berbalam di sebalik rimbunan pepohon menghijau menaikkan seri semula jadi di sekitar tempat penginapan kami; Hokitika Holiday Park. Menu sarapan pagi dengan haruman nasi lemak daun pandan dan tumisan sambal ikan bilis. Hidangan masakan kampung serba sederhana yang sungguh menyelerakan!

Pada hari kedua 'berkampung' di Hokitika, kami telah memutuskan untuk melihat sentuhan magis alam semula jadi yang terdapat di Westland Glacier Country.

Ikuti jelajah 80 kilometer kami di Fox Glacier (Te Moeka o Tuawe dalam bahasa Maori)...

Perjalanan lebih 2 jam dari Hentian Hokitika akhirnya membawa kami ke destinasi yang ditunggu-tunggu, iaitu di Fox Glacier yang juga berjiran dengan Franz Josef Glacier. 

Jika ditanya apa uniknya Westland Glacier Country, pasti ramai, khususnya pencinta alam semula jadi segera mengaitkannya antara destinasi eko pelancongan yang wajib untuk dilawati. Di sebalik popularitinya sebagai World Heritage Site, Fox Glacier sememangnya layak dicanangkan sebagai gedung ilmu alam dengan keajaiban bentuk landskap yang memukau dan tidak terjangkau difikiran.

Biarpun penat kerana berjalan kaki, kami sempat meneroka keajaiban dan keindahan rupa bentuk batu-batuan... jambakan awan gemawan berserakan yang menghiasi langit biru cerah... terkesima dengan bentuk fisiografi di kaki pergunungan Southern Alps sambil didodoikan oleh deruman air terjun yang turun dari tanah tinggi... menyaksikan sendiri hakisan yang terjadi di sekitar tasik glasier dengan kedinginan angin yang bertiup garang seolah-olah berbisik dan mengingatkanku tentang keajaiban dan kekuasaan ciptaan Tuhan.

Subhan'Allah!

Apa yang pasti, kenangan indah menikmati panorama alam di Fox Glacier akan senantiasa terpahat diingatan apatah lagi setelah meredah perjalanan sejauh 80 kilometer dengan menggendong Adam yang mencecah 11 kilogram, menaiki dan menuruni lereng bukit yang curam, menyusuri alur sungai ditambah kesejukan di kawasan pergunungan memang benar-benar menguji kesabaran, minda dan keupayaan fizikal.    

Sememangnya berbaloi walaupun sedikit kepayahan... dan

memberikan kepuasan.

Berakhirnya pengembaraan dengan pelbagai kenangan yang dirakamkan untuk dibawa pulang!
Pemandangan Fox Glacier dari kejauhan.

Awan gemawan di kemuncak pergunungan Southern Alps.

Keajaiban Fox Glacier yang menjadi Warisan Dunia.

Menjejaki Fox Glacier dengan berjalan kaki sambil menggendong Adam.

Sungai Fox yang menembusi pintu gua di Fox Glacier.

Kesegaran air yang mengalir dari sungai Alpine.

Masih melimpah keindahan flora tanah tinggi di alam penuh keajaiban ini.

2 Pendaki gunung Southern Alps tersenyum girang.

Menikmati keindahan Fox Glacier dari jarak dekat.

Kepuasan dan keseronokan yang dinikmati bersama keluarga.

Tarikan Fox Glacier yang menggamit hatiku dan anak-anak.

Lekanya Adel bermain air yang mengalir di Sungai Alpine.

Tanda Amaran yang wajib dipatuhi!

Jangan diikut kata hati yang meronta-ronta untuk melepasi had amaran ini...

Kesegaran dan kedinginan air sungai Alpine menenangkan hatiku.

Pengalaman baru buat Adam merasai kesegaran air sungai Alpine.

Menikmati panorama alam yang memukau mata kecil bayiku.

Juga pengalaman berharga buat si abang Adel...

Jauh perjalanan luas pengalaman...

Kenangan di Fox Glacier untuk dibawa pulang!