Thursday, October 14, 2010

Another aftershock in Canterbury

Suasana panik tercetus sekali lagi pada jam 4.53 petang semalam. Satu lagi gempa susulan dirasai dengan kekuatan mencecah 5.02 skala Richter dengan gegaran selama 10 saat. 

Terdahulu, gegaran telah mula dirasai sekitar jam 1.30 tengah hari dengan magnitud 4.1.

Kesan kekuatan gegaran gempa susulan itu turut dilihat apabila lantai rumah tempatku berpijak bergegar-gegar. Dinding dapur bergoyang seolah-olah aku mengelungsur ke lautan tika lautan ombak bergelora. Pinggan ditanganku hampir sahaja terlepas ke dalam mangkuk sinki.  

Dan setiap detik yang berlalu membuatkan hatiku terus berdebar-debar dan cemas saat gempa susulan yang berlaku itu. Degupan jantungku semakin laju dan kencang. Bebola mataku lantas mencuri pandang ke arah suamiku untuk mencari kekuatan. Ketika itu, yang terlintas di fikiran hanyalah nasib Adel dan Adam, dua orang anakku yang masih lagi kecil. Aku mula memikirkan yang bukan-bukan. Gempa susulan itu sekaligus mengembalikan nostalgia yang menghantui fikiranku akibat tragedi filem 2012 yang baruku tonton pada 2 hari yang lepas. Rumah penduduk runtuh, bangunan ranap menyembah bumi, suara jeritan dan tangisan penduduk yang lari bertempiaran berada di mana-mana, penduduk seolah-olah hilang punca serta tidak tahu di mana hendak mengadu nasib, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus, dan panorama kemusnahan demi kemusnahan seolah-olah kiamat sudah tiba berlegar-legar di kepalaku. Sungguh jauh fikiranku terbang melayang.

Sejenak aku terkesima. Aku cuba menenangkan diri dan beristighfar panjang.

Segeraku bermuhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran. Aku dan keluargaku masih lagi berada di bawah lindunganNya. Sebagai umat Islam yang menyakini adanya Allah s.w.t , adanya kuasa tuhan, adanya alam akhirat, mungkin kejadian ini sebagai tanda amaran dari Allah agar kita mendekatkan diri kepadaNya.


"Ya Allah, kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah). Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, nabi yang mulia, kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda amnya."

Insan beriman di kala pagi ia bertasbih dan berdoa, di kala petang tetap kerendahan jiwanya dengan berzikir dan mengingati Allah. Di kala malam hari, ia semakin menundukkan dirinya kepada Pencipta Yang Agung. 

Semoga aku senantiasa mengambil pandangan positif sebagai bentuk muhasabah diriku ini yang tidak seberapa amalannya, yang sentiasa mengharap untuk menjadi mukmin sejati. Semoga bibirku sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan Yang Maha Pencipta, dan kemudian sentiasa berdoa dan mengharapkan keredhaan-Nya. 

InsyaAllah.