Monday, January 10, 2011

Sepagi di Pasar Ahad Riccarton



Seawal jam 9.00 pagi Ahad, kami tidak melepaskan peluang mengunjungi Pasar Ahad di Riccarton Park Racecourse, Christchurch yang merupakan antara pasar minggu terbesar yang terdapat di New Zealand. Dibuka pada setiap hari Ahad dari jam 9.00 pagi hingga jam 2.00 petang. 

Kesempatan pada kunjungan pertama ini membuka ruang untuk kami mengenali serta mendapat gambaran sebenar tentang kehidupan dan kebudayaan golongan petani di New Zealand sambil keluar berbelanja.


Ruang perniagaan di Pasar Ahad merupakan kawasan paling sibuk dengan jumlah gerai melebihi 300 buah. Anda boleh membeli hampir apa sahaja di Pasar Riccarton. Selain sayur-sayuran dan buah-buahan segar, Ia juga menawarkan produk tekstil, barangan seni, perkakasan rumah, perhiasan diri buatan tangan, pakaian yang murah, buku-buku terpakai, keunikan produk kraftangan yang menjadi cendera hati paling popular di kalangan pelancong. 


Pasar Ahad Riccarton hampir sama sahaja dengan Pasar Malam di Malaysia. Cuma sesuatu yang agak mustahil untuk mencari juadah makanan pelbagai seperti nasi kerabu, nasi dagang, dan 1001 lagi variasi makanan yang terdapat di Malaysia. 


Jika anda ingin menikmati suasana santai, atau berpiknik bersama rakan dan keluarga berkunjunglah ke pasar ini. Anda pasti berasa asyik melihat produk-produk hasil kebun yang segar. Sambil berehat, telinga anda akan dihiburkan dengan alunan muzik daripada beberapa artis tempatan. 


Suasana meriah dan keramahan penduduk tempatan menjadikan lawatan di pasar ini sangat menyeronokkan. Tempat meletakkan kenderaan juga banyak disediakan dan hanya mengambil masa selama 15 minit dari pusat bandar. 


Cara terbaik untuk memulakan hari anda di pasar ini ialah dengan menikmati secawan kopi yang harum aromanya. Pasar Riccarton adalah merupakan zon bebas alkohol dan amat sesuai untuk dikunjungi jika anda datang bertandang ke Christchurch. 


Apa yang menariknya, kawasan persekitaran amatlah dijaga rapi dan bersih tanpa longgokan sisa sampah sarap. Di sini penduduk lebih bertanggungjawab dan bersikap sopan dalam menjaga dan mengekalkan keindahan alam sekitar. 


Malah pada setiap penjuru disediakan dengan tong sampah. Anda juga boleh menjamu mata dengan keindahan persekitaran dan berehat di kawasan lapang yang berpermaidanikan rumput hijau. Kunjungan di sini juga amatlah menenangkan sekali. 


Apa yang pasti, Pasar Ahad Riccarton menggamit hatiku untuk berkunjung sekali lagi ke sana. Terbayang di mataku jaket kulit berjenama New Zealand yang berharga ratusan NZ Dollar tetapi telah berjaya dibeli dengan hanya NZD5. 


Masih Elok, Cantik dan dijamin Berkualiti Tinggi!