Tuesday, March 1, 2011

Imbasan pengalaman berdepan Gempa Bumi 22.02.2011


CABARAN untuk diriku yang berada di luar negara, pada saat-saat getir merasai gelombang gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter dengan kedalaman 5 kilometer sememangnya amat menguji kekuatan mental dan fizikal. Keselamatan diri dan keluarga juga mulai tergugat ekoran kejadian bencana alam yang menggoncang wilayah Canterbury di bandar Christchurch pada tarikh keramat 22.02.2011. Kesan musibah gempa bumi yang berlalu sememangnya amat memilukan. Selain angka korban meningkat kepada 145 orang, lebih 200 orang dilaporkan masih hilang tepat jam 5.51 petang waktu tempatan, 26 Februari. Buat pertama kalinya, Kerajaan New Zealand mengisytiharkan darurat dalam malapetaka paling dahsyat di negara itu dalam tempoh 80 tahun.

Tujuh hari telah berlalu, namun Tragedi 22 Februari memahatkan kenangan pahit yang pastinya sukar untuk dilupakan. Gempa bumi yang berlaku mengundang perasaan takut dan cemas yang tidak dapat digambarkan menerusi luahan perasaan. Mengimbas kembali detik jam 12.51 tengah hari, aku bersama 2 orang anakku sedang bersantai di ruang tamu. Kami baru sahaja sampai di rumah sekembalinya dari mengambil Adel di Avonhead Preschool. Ketika kejadian, lantai tempat berpijak seperti dilambung ombak besar menyebabkan aku yang ingin mencapai bayiku hilang imbangan dan terjatuh. 

Serambi rumah turut bergegar kuat.  

Lampu gantung dan televisyen bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Pintu kabinet dapur terbuka dan bergegar.

Buku-buku jatuh dari raknya.

Kalimah Subhanallah sentiasa berulang-ulang di bibirku sambil beristighfar dalam hati.

Gegaran yang agak kuat dalam beberapa saat telah menyedarkan aku bahawa itu bukanlah seperti gempa susulan yang biasa berlaku. Apa yang terlintas difikiran tika itu adalah keselamatan 2 orang anakku yang masih kecil lagi. Dalam kekalutan, aku pantas menarik Adel dan menggendong Adam masuk ke bawah meja sebagai tempat berlindung. Adel sempat bertanya padaku, "Mama, mama... Where's abah?... Mama, let us rescue abah."

Pertanyaan Adel membuatkan aku termangu. Bulu roma meremang sehingga ke tengkuk mengenangkan keselamatan suamiku yang mengajar di bandar. Aku tidak mampu mengawal perasaan takut sehinggakan Adel mulai resah di tempat persembunyian kami. 

Ya Allah kau selamatkanlah dan lindungilah suamiku. 

Apabila keadaan mulai reda, aku ingin mencapai telefon untuk menghubungi suamiku. Namun, hampa. Bekalan elektrik dan telekomunikasi telah terputus. Di luar cuaca agak mendung dan hujan renyai-renyai menambahkan kesejukan yang mencengkam segenap tulang. Dalam keresahan menunggu, telefon bimbitku berbunyi. Alhamdulillah, suamiku selamat keluar dari bangunan tempat dia mengajar dan telah berhimpun di Victoria Square.

15 minit berlalu... 

Aku membawa anak-anakku ke bilik bagi memeriksa sebarang kerosakan. Tiba-tiba berlaku lagi gegaran susulan yang agak kuat diiringi dengan bunyi dentuman kuat. Ku pandang wajah Adam yang terkejut kerana Extractor Fan yang tersimpan dalam kabinet berkunci terjatuh dari ketinggian 6 kaki di sebelahnya. Aku berlari mendapatkan Adam dan menarik Adel yang sudah menangis ke luar rumah. Di luar pintu, jiran kami telah menunggu dan terus memeluk Adel yang ketakutan. 

Kebesaran Tuhan! 

Sesungguhnya bencana yang berlaku adalah untuk menguji keimanan dan kesabaran.

Dan aku menitiskan air mata. 

Air mata keinsafan. 

Air mata kesyukuran. 

Bersyukur terselamat dari kejadian yang lebih buruk... semoga masih wujud ruang dan peluang menikmati kehidupan di muka bumi sehingga waktu yang ditentukan.