Thursday, November 25, 2010

Adam budak Plunket


[Adam 5 months old : Well Child Tamariki Ora Check 1st visit on November 22, 2010]


Progress :
Weight >>> 8.76kg
Length >>> 67 cm
Head   >>> 43.5 cm


Comment from Adam's Plunket Nurse, Anne-Marrie :
"Your 5 months old is very beautiful healthy baby... adjusting very well in New Zealand... continue breastfeeding your baby... Fantastic job!... We hope you and your family will enjoy your time here." .... 

Alhamdulillah, Adam sekarang dah jadi budak Plunket. Minggu lepas sempat bawa Adam untuk lawatan pertama berjumpa dengan Plunket Nurse di Avonhead/ Kendal Avenue. Kedatangan kami disambut dengan penuh mesra oleh Anne-Marrie yang bertugas pada hari itu. 


Kenapa perlu daftarkan Adam dekat Plunket?
Plunket menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua kanak-kanak yang berada di New Zealand. Proses pendaftaran adalah amat mudah. Buat temujanji, datang ke klinik... dan terus masuk ke Plunket Room untuk sesi pemeriksaan dan perbincangan menyeluruh mengenai aspek perkembangan anak-anak. 


Kepada mereka yang mempunyai bayi kecil dan bercadang untuk menetap di New Zealand bolehlah layari laman web ini untuk informasi tentang Plunket http://www.plunket.org.nz


Senario seperti ini amat jarang diperolehi jika dibandingkan dengan Klinik Kesihatan di Malaysia. Ini berdasarkan pengalaman selepas mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan di klinik kerajaan. Tempoh menunggu agak lama dan kadangkala sampai berjam-jam lamanya menanti giliran.


Sambil memandu kereta untuk pulang ke rumah, sejenak ku terfikirkan bahawa betapa beruntungnya kanak-kanak yang membesar di New Zealand ini. 


Alhamdulillah, Adam beruntung jadi budak Plunket!



Wednesday, November 17, 2010

Gema Takbir di bumi Aotearoa


Avonhead, Christchurch sunyi sepi.

Tiada hiruk-pikuk seperti menyambut ketibaan Eid al-Adha.

Tiada takbir... Tiada lagu Raya berkumandang di corong hi-fi stereo mahupun rancangan khas di kaca televisyen.

Tiada dentuman bunyi mercun yang menerjah cuping telinga.

Tiada haruman bau daging sate yang dimasak oleh ibu mertuaku ataupun bau keenakan kari daging dari dapur Kak Longku.

Segalanya tiada.

Kekurangan yang satu.

Saat air mata membasahi pipi, sayup-sayup kedengaran laungan takbir dari youtube.com.

Takbir Eid al-Adha sedikit sepi tanpa keluarga Wak Erang yang berada di desa dan keluarga Nawi, Skudai.

Itu sahaja.

Satu nikmat pada yang tiada. Hanya Takbir, solat di hening Dhuha serta ibadah korban dikalangan keluarga Malaysian-Post Grads Chc. Hakikatnya itulah makna berhari raya di perantauan.

Justeru buat ayah dan bonda...jua buat sanak-saudara di Malaysia
maafkanlah anakanda, suami, Adel dan Adam yang berada di kejauhan sempena Eid al-Adha pada kali ini.

Semoga Eid al-Adha masih terpelihara tanpa pesta dan hiburan semata!

Tuesday, November 16, 2010

Aku, Tram & Cathedral Square



Jika anda sampai ke pusat bandar raya Christchurch jangan lepaskan peluang bersantai dengan menaiki perkhidmatan tram. Perjalanan menaiki tram pastinya meninggalkan jejak dan kesan yang tidak bisa dilupakan dalam ruang hati dan di benak fikiran masing-masing. Sambil mata menyusuri kejernihan sungai Avon, kita akan turut terpaku pada keunikan struktur reka bentuk bangunan serta diperdengarkan dengan komentar-komentar menarik daripada pemandu tram yang ramah mesra. Dengan satu tiket yang dibeli, kita boleh turun di mana-mana 11 perhentian tram dan menyambung semula perjalanan pada perhentian seterusnya.




Bila peluang sudah berada di hadapan mata? Pastinya aku akan merakam memori indah untuk dikhabarkan dan diberitakan khususnya buat keluarga, teman dan sahabat yang berada di Malaysia.




Entri kali ini, membawa eksplorasiku di hujung minggu bersama suami, Adel dan Adam ke Cathedral Square. Christchurch Cathedral merupakan mercu tanda yang menjadi tumpuan ramai bagi meredakan tekanan dan kepenatan selepas bekerja. 




Ikon arkitektur yang termasyhur iaitu The Chalice menjadi antara tempat wajib untuk dikunjungi. 




Seronoknya Adel dapat berjalan-jalan dan mengabadikan kenangan bergambar di hadapan Chalice.


Peluang bersiar-siar kali ini umpama serampang dua mata buat diriku. Sambil melepaskan lelah dan kepenatan menguruskan bayi kecil yang meragam tak tentu waktu, kami sekeluarga dapat meluangkan masa kualiti bersama. 




Dan satu pengalaman baru buat diriku, usai penat berjalan kami berehat sambil berbaring di atas rumput di tepi sungai Avon yang dirimbuni pepohan nan menghijau. Sempat jua aku terlelap sebentar. Bila kelopak mataku terbuka, aku menjadi lebih bertenaga. Emosi dan jiwa juga menjadi lebih tenang. Seolah-olah ion-ion negatif telah meresap dan menambah kepekatan oksigen dalam darah. Justeru, aku lebih bertenaga dari sebelumnya. 




"Bersih ke nak baring atas rumput?" Soalan yang agak tipikal pada pandanganku. 


Bukankah sudah terbukti menerusi kajian klinikal dan saintifik tentang keupayaan ion negatif dalam pembuangan toksik dan juga sebagai agen anti pengoksidaan yang dapat meningkatkan fungsi sel dan organ secara menyeluruh. 


Lantaran itu, manfaatkanlah segala limpahan kurniaan Maha Suci Allah untuk dikaji dan direnungi bersama.


Jumpa lagi di entri yang akan datang. Insha'Allah!




Dan salam sayang ditujukan buat suamiku... dalam kesibukan beliau bekerja dan berhempas pulas untuk melunaskan PhD sempat jua meluangkan masa bersamaku dan anak-anak di Cathedral Square. Terima kasih daun keladi untuk gambar-gambar menarik dari lensa abang!

Sunday, November 14, 2010

Adel, Preschool & 2km

LAMA SUDAH KU MENYEPIKAN DIRI!

Salam ukhuwah buat semua sahabat...
Semoga sehingga detik dan saat ini kita masih lagi dikurniakan nikmat dan kemanisan IMAN dan ISLAM.


21 September 2010; genap sudah usia Adel 4 tahun. Alhamdulillah, setelah menunggu selama sebulan lebih barulah dapat menguruskan pendaftaran bagi kemasukan Adel ke tempat pendidikan pra-persekolahan. Sebelum ini kami begitu sibuk membuat pengurusan dan penyesuaian sejak sampai di sini seperti keperluan rumah, dll. Tambahan pula, suamiku sibuk bekerja dan mengejar masa untuk menyiapkan proposal PhDnya.  Perubahan iklim, cuaca dan persekitaran turut menjadi halangan. 

Avonhead Preschool, Christchurch New Zealand. Di sinilah tempat Adel akan memulakan penerokaan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar di New Zealand. Berpandukan modul program pengasuhan kanak-kanak yang menerapkan kurikulum Montessori dan Te Whariki, Adel akan berpeluang mendalami  pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan menghormati tatacara kehidupan masyarakat Maori. Tentu agak menarik bila Adel boleh menuturkan bahasa Maori. Berkaitan dengan yuran pra-sekolah, ia adalah percuma dan mendapat subsidi 20 hours ECE per week (Early Childhood Education) dari kerajaan New Zealand. Berbanding dahulu ketika di Malaysia, kami menghabiskan lebih RM1+++ setahun bagi memulakan pendaftaran di NURI Kindergarten dan yuran bulanan sebanyak RM410. Yang menariknya, tiada uniform dan tiada buku yang perlu dibeli bagi memulakan sesi pra-persekolahan di sini. Pakailah apa sahaja pakaian yang bersesuaian.

Ku panjatkan kesyukuran kepada Mu Ya Allah atas kemudahan persekolahan anak kami di sini.

"Sekilas pandang terus jatuh cinta untuk mendaftarkan Adel di pra-sekolah ini". 

Walaupun agak jauh berbeza dengan sistem pendidikan pra-sekolah di Malaysia, terus terang aku mengakui sistem pendidikan di sini lebih memberi makna dan unik dalam menggarap aspek perkembangan kanak-kanak. Sel-sel neuron otak dirangsang dengan pendedahan kepada pengalaman pembelajaran menerusi practical life dan aktiviti free-play seperti; "outdoor activities, puzzles, books, music, blocks, painting, water, collage, carpentry, dress ups and playdough." Adel juga telah belajar cara menggunakan penukul, paku dan kayu  untuk kerja-kerja pertukangan. Sesuatu yang agak berlainan di Malaysia yang menggunakan pendekatan bercorak Academic-Oriented dan Examination-Based.

Dalam 3 lawatan yang terdahulu bagi proses penyesuaian, agak payah untuk memahami emosi Adel. Sering sahaja berada di belakangku dengan muka masam dan cuba menyembunyikan diri, enggan berinteraksi dan melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan. Mendekati anak-anak bukanlah sesuatu tanggungjawab yang mudah. Dalam kesibukan kita sebagai ibu bapa terutama bagi mereka yang bekerja dan menguruskan rumahtangga kita agak mudah hilang fokus. Keadaan ini tentu sahaja membuatkan anak-anak rasa terpinggir. Biasanya kita akan dapati anak-anak akan sengaja melakukan perkara-perkara yang memeningkan kepala kita hanya sekadar ingin menarik perhatian ibu bapa. Dalam hal ini, Adel turut tidak terkecuali. Kena banyak bersabar dan memujuk. Insha'Allah, semua masalah boleh diatasi.

Dengan dorongan dan sokongan yang tak putus-putus dari tenaga pengajar di Avonhead Preschool. Kini, aku sudah boleh menarik nafas lega. Lawatan pada 11 November 2010 menunjukkan satu perubahan positif buat Adel. 




Adel semakin seronok dan gembira. 


Dalam perjalanan balik dengan berjalan kaki sejauh 2 km, Adel masih lagi bertenaga dan mampu untuk meredah keperitan sinar mentari 24 darjah Celcius, pada jam 12.30 tengah hari. 40 minit berjalan kaki!




Gelagatnya sangat menghiburkan. Walaupun kadangkala, Adel can be a little bit bossy! Sehinggakan gelaran 'Anak Raja' sinonim dengan Adel. Gelaran yang dianugerahkan oleh Big Daddy AMN.


Semoga keadaan ini akan berterusan. Insha'Allah, dengan ilmu, usaha, doa dan penegasan kita sebagai ibu bapa kita boleh mengawal minda bawah sedar dan tindakan kita terhadap anak-anak akan menjadi lebih baik. Berikanlah yang terbaik yang termampu bersesuaian dengan kudrat masing-masing untuk kita berikan kepada anak-anak kita.


“Sayangilah dan dekatilah anak-anak kita”