Tuesday, February 8, 2011

Usia muda, Jiwa klasik...


CATATAN pengembaraan kini masuk bulan kelima. Kisah lembaran kehidupan aku di sini memang tidak pernah jemu. Ada sahaja perkara menarik untuk dilakukan. Minggu ini aku mahu berkongsi keseronokan menyingkap kemeriahan konsert berskala besar ASB Classical Sparks 2011 yang berlangsung di North Hagley Park pada 5 Februari lalu yang mendapat sambutan hangat dari 100,000 orang pengunjung. Konsert itu yang merupakan acara tahunan pada musim panas dibawakan secara percuma kepada penduduk setempat di Christchurch. Persembahan dimeriahkan dengan lagu-lagu klasik Bizet, Tchaikovsky, Wagner di bawah iringan Christchurch Symphony Orchestra. 

Tentu ada yang tertanya-tanya apakah keistimewaan Classical Sparks ini. Persembahan konsert ini cukup hebat. Aku percaya mereka yang menonton secara langsung sambil duduk bersantai di atas rumput Hagley Park pasti terpesona dengan alunan melodi-melodi klasik. Keseronokan suasana malam semakin rancak pada penghujung penutup tirai tepat pada jam 10.00 malam dengan dendangan lagu Bohemian Rhapsody dan juga pertunjukan bunga api hasil koreografi Anthony Lealand dari Fireworks Professionals. Jelas terpancar keseronokan di wajah Adel dan Adam yang begitu teruja dengan kemeriahan pertunjukkan bunga api. Terasa berbaloi kedatangan kami ke konsert ini walaupun terpaksa merentas denai pejalan kaki di Hagley Park yang sejauh 2km itu.