Tuesday, December 21, 2010

Tummy Bug (Gastroenteritis)



[Five days ago]


I was eating Spinach and Feta Bread. 


About three hours after eating I get terrible stomach distress and feel like I will faint.


I suddenly got this weird tingling sensation that went from left to right at the top of my stomach, right near my ribs. Uh-Oh I thought. It was not a pain, but a burning sensation.


That night I had a mild feverish feeling.


I had thrown up about 3 times. 


At 3 a.m., I was still throwing up every single drop of liquid I drank. Non-stop puke!


I felt weak the whole day, plus my body ached all over! Let's not talk about appetite... I barely ate at all the whole day.


Tummy bugs are awful - one minute you are fine, the next you could be ill for as much as a week.





Tuesday, December 7, 2010

Christchurch Gondola


Seringkali aku teruja untuk bercerita tentang pengalaman berada di Negara Awan Putih Yang Memanjang. Bak kata peribahasa "Jauh perjalanan, luas pengalaman." Semoga catatan pengembaraan kali ini membawa inspirasi dan motivasi bagi semua yang membacanya.


"Pengembaraan di Bumi Aotearoa" membawa diriku dan keluarga ke destinasi menarik untuk dikunjungi dan merasai sendiri keseronokan menaiki kereta kabel iaitu Christchurch Gondola. Lazimnya, lokasi ini menjadi tumpuan dan tarikan pengunjung serta penduduk setempat untuk keluar beristirehat bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

Christchurch Gondola... Dengan jangkauan pemandangan sehingga 360 darjah ke seluruh penjuru bandar Christchurch, menghala ke Teluk Pegasus dan hamparan biru Lautan Pasifik menuju ke Kaikoura; menyusuri kawasan Semenanjung, Tasik Ellesmere dan Pelabuhan Lyttleton, merentasi sempadan pertemuan antara Canterbury ke Banjaran Alps Selatan. Sungguh luas bumi tuhan ini dan amat mempesonakan. 


Terpaku aku sejenak bila berada di puncak pergunungan Cavendish dengan ketinggian 1500 kaki dari aras laut. Dari kejauhan kelihatan langit biru yang dihiasi arakan awan putih menutupi sebahagian gunung-ganang yang lebar dan memanjang. Begitu indah dan punyai misteri yang terpendam!   

Pelabuhan Lyttleton

Berada dalam kabin Gondola dengan muatan 4 tempat duduk bagi orang dewasa, membawaku dan suami serta anak-anak merentasi perjalanan sejauh 945 meter untuk menuju ke puncak. Perasaanku berbaur antara seronok dengan pemandangan yang menakjubkan, juga takut dan seram apabila sesekali Gondola bergoyang ditiup angin kencang. Hmmm... betapa mahal harga sebuah pengalaman itu. Pengalaman yang memberikan ilmu dan pengajaran berguna.

Tuntasnya, Christchurch masih lagi mempunyai khazanah alam semula jadi yang masih belum dinodai. Bersih dan dijaga rapi. Kesedihan mula terasa apabila terkenangkan tanahair... tempat tumpah darahku yang semakin merintih oleh kerakusan manusia memusnahkan hidupan flora dan fauna seiring perkembangan pesat pembangunan negara. Manusia yang seringkali alpa ekoran terlampau mengejar keuntungan... telinga semakin panas mendengar isu pembalakan haram yang tiada penghujungnya, perlombongan pasir yang tidak terkawal, pencerobohan tanah, penebangan hutan, pembuangan sisa industri dan toksik yang sekaligus mengganggu keseimbangan sesebuah ekosistem.

Sungguh malang bagi sesebuah negara dan rakyatnya... setiap kali ada isu yang ditimbulkan, acap kali itulah ianya dipolitikkan. Hatiku sering sahaja tidak tenang kerana mengetahui ianya tiada jalan penyelesaian.

Alhamdulillah, ketenangan kini lebih dirasai dan bermakna... dengan keindahan dan kesegaran alam sekitar, hembusan udara yang nyaman, kejernihan air sungai dan kehijauan bukit bukau, keriuhan kicauan unggas dan sang burung yang bertasbih memuji kebesaran Illahi. Nyata ianya menyegarkan jiwa dan fikiran. 

Dan perasaan itulah yang singgah di hatiku apabila melangkahkan kaki keluar dari Christchurch Gondola.


Wednesday, December 1, 2010

Nature Boy


Pandanganku dilempar jauh ke dada langit yang membiru. Silau matahari macam semut menggigit mataku yang kuyu. Dadaku kembang kuncup melapah udara yang lazat dan segar. Matahari agak berkilat, angin sejuk mencengkam, sisik awan putih menjadikanku bernostalgia sendiri, bunyi kicauan burung mendamaikan perasaanku, rimbunan pepohon hijau dan debunga yang tumbuh mekar agak mengkhayalkan... Fikiranku terbang jauh beribu batu mengimbas kenangan manis bersama atuk, nenek, dan keluarga di Malaysia. Inilah NikmatNya! Ketenangan dan kedamaian. Di mana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung...

"Oh Tuhan... aku bersyukur kepada-Mu." bisik hati kecil Adam.

"Adam... oooo... Adam." Sergahan Abang Long menghentikan lamunanku.


Aku menoleh ke belakang. Rupanya Abang Long mengajakku makan tengah hari bersama. 

"Eh... sedapnya ada sushi. Mesti dari air tangan mama ni?... Mama, Adam nak makan sushi." Pantas aku mengalihkan pandangan ke arah mama. Namun, mama hanya menggelengkan kepala dan menyuapkan Avocado ke mulutku. 

"Avocado lagi... sudah dua hari menu yang sama. Hampa lagi... Bila boleh makan sushi ni?" 


Aku cuba bergolek ke tepi. Dengan pantas aku mencapai novel yang dibaca oleh mama untuk menunjukkan protesku. 


"Hmmm... Adam ni. Kenapa nak main dengan novel mama tu?" sapa Abang Longku. 

"Jom! Adam. Kita main water gun ya?"

Abang Long amat penyayang dan pantas memujukku.

Thursday, November 25, 2010

Adam budak Plunket


[Adam 5 months old : Well Child Tamariki Ora Check 1st visit on November 22, 2010]


Progress :
Weight >>> 8.76kg
Length >>> 67 cm
Head   >>> 43.5 cm


Comment from Adam's Plunket Nurse, Anne-Marrie :
"Your 5 months old is very beautiful healthy baby... adjusting very well in New Zealand... continue breastfeeding your baby... Fantastic job!... We hope you and your family will enjoy your time here." .... 

Alhamdulillah, Adam sekarang dah jadi budak Plunket. Minggu lepas sempat bawa Adam untuk lawatan pertama berjumpa dengan Plunket Nurse di Avonhead/ Kendal Avenue. Kedatangan kami disambut dengan penuh mesra oleh Anne-Marrie yang bertugas pada hari itu. 


Kenapa perlu daftarkan Adam dekat Plunket?
Plunket menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua kanak-kanak yang berada di New Zealand. Proses pendaftaran adalah amat mudah. Buat temujanji, datang ke klinik... dan terus masuk ke Plunket Room untuk sesi pemeriksaan dan perbincangan menyeluruh mengenai aspek perkembangan anak-anak. 


Kepada mereka yang mempunyai bayi kecil dan bercadang untuk menetap di New Zealand bolehlah layari laman web ini untuk informasi tentang Plunket http://www.plunket.org.nz


Senario seperti ini amat jarang diperolehi jika dibandingkan dengan Klinik Kesihatan di Malaysia. Ini berdasarkan pengalaman selepas mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan di klinik kerajaan. Tempoh menunggu agak lama dan kadangkala sampai berjam-jam lamanya menanti giliran.


Sambil memandu kereta untuk pulang ke rumah, sejenak ku terfikirkan bahawa betapa beruntungnya kanak-kanak yang membesar di New Zealand ini. 


Alhamdulillah, Adam beruntung jadi budak Plunket!



Wednesday, November 17, 2010

Gema Takbir di bumi Aotearoa


Avonhead, Christchurch sunyi sepi.

Tiada hiruk-pikuk seperti menyambut ketibaan Eid al-Adha.

Tiada takbir... Tiada lagu Raya berkumandang di corong hi-fi stereo mahupun rancangan khas di kaca televisyen.

Tiada dentuman bunyi mercun yang menerjah cuping telinga.

Tiada haruman bau daging sate yang dimasak oleh ibu mertuaku ataupun bau keenakan kari daging dari dapur Kak Longku.

Segalanya tiada.

Kekurangan yang satu.

Saat air mata membasahi pipi, sayup-sayup kedengaran laungan takbir dari youtube.com.

Takbir Eid al-Adha sedikit sepi tanpa keluarga Wak Erang yang berada di desa dan keluarga Nawi, Skudai.

Itu sahaja.

Satu nikmat pada yang tiada. Hanya Takbir, solat di hening Dhuha serta ibadah korban dikalangan keluarga Malaysian-Post Grads Chc. Hakikatnya itulah makna berhari raya di perantauan.

Justeru buat ayah dan bonda...jua buat sanak-saudara di Malaysia
maafkanlah anakanda, suami, Adel dan Adam yang berada di kejauhan sempena Eid al-Adha pada kali ini.

Semoga Eid al-Adha masih terpelihara tanpa pesta dan hiburan semata!

Tuesday, November 16, 2010

Aku, Tram & Cathedral Square



Jika anda sampai ke pusat bandar raya Christchurch jangan lepaskan peluang bersantai dengan menaiki perkhidmatan tram. Perjalanan menaiki tram pastinya meninggalkan jejak dan kesan yang tidak bisa dilupakan dalam ruang hati dan di benak fikiran masing-masing. Sambil mata menyusuri kejernihan sungai Avon, kita akan turut terpaku pada keunikan struktur reka bentuk bangunan serta diperdengarkan dengan komentar-komentar menarik daripada pemandu tram yang ramah mesra. Dengan satu tiket yang dibeli, kita boleh turun di mana-mana 11 perhentian tram dan menyambung semula perjalanan pada perhentian seterusnya.




Bila peluang sudah berada di hadapan mata? Pastinya aku akan merakam memori indah untuk dikhabarkan dan diberitakan khususnya buat keluarga, teman dan sahabat yang berada di Malaysia.




Entri kali ini, membawa eksplorasiku di hujung minggu bersama suami, Adel dan Adam ke Cathedral Square. Christchurch Cathedral merupakan mercu tanda yang menjadi tumpuan ramai bagi meredakan tekanan dan kepenatan selepas bekerja. 




Ikon arkitektur yang termasyhur iaitu The Chalice menjadi antara tempat wajib untuk dikunjungi. 




Seronoknya Adel dapat berjalan-jalan dan mengabadikan kenangan bergambar di hadapan Chalice.


Peluang bersiar-siar kali ini umpama serampang dua mata buat diriku. Sambil melepaskan lelah dan kepenatan menguruskan bayi kecil yang meragam tak tentu waktu, kami sekeluarga dapat meluangkan masa kualiti bersama. 




Dan satu pengalaman baru buat diriku, usai penat berjalan kami berehat sambil berbaring di atas rumput di tepi sungai Avon yang dirimbuni pepohan nan menghijau. Sempat jua aku terlelap sebentar. Bila kelopak mataku terbuka, aku menjadi lebih bertenaga. Emosi dan jiwa juga menjadi lebih tenang. Seolah-olah ion-ion negatif telah meresap dan menambah kepekatan oksigen dalam darah. Justeru, aku lebih bertenaga dari sebelumnya. 




"Bersih ke nak baring atas rumput?" Soalan yang agak tipikal pada pandanganku. 


Bukankah sudah terbukti menerusi kajian klinikal dan saintifik tentang keupayaan ion negatif dalam pembuangan toksik dan juga sebagai agen anti pengoksidaan yang dapat meningkatkan fungsi sel dan organ secara menyeluruh. 


Lantaran itu, manfaatkanlah segala limpahan kurniaan Maha Suci Allah untuk dikaji dan direnungi bersama.


Jumpa lagi di entri yang akan datang. Insha'Allah!




Dan salam sayang ditujukan buat suamiku... dalam kesibukan beliau bekerja dan berhempas pulas untuk melunaskan PhD sempat jua meluangkan masa bersamaku dan anak-anak di Cathedral Square. Terima kasih daun keladi untuk gambar-gambar menarik dari lensa abang!

Sunday, November 14, 2010

Adel, Preschool & 2km

LAMA SUDAH KU MENYEPIKAN DIRI!

Salam ukhuwah buat semua sahabat...
Semoga sehingga detik dan saat ini kita masih lagi dikurniakan nikmat dan kemanisan IMAN dan ISLAM.


21 September 2010; genap sudah usia Adel 4 tahun. Alhamdulillah, setelah menunggu selama sebulan lebih barulah dapat menguruskan pendaftaran bagi kemasukan Adel ke tempat pendidikan pra-persekolahan. Sebelum ini kami begitu sibuk membuat pengurusan dan penyesuaian sejak sampai di sini seperti keperluan rumah, dll. Tambahan pula, suamiku sibuk bekerja dan mengejar masa untuk menyiapkan proposal PhDnya.  Perubahan iklim, cuaca dan persekitaran turut menjadi halangan. 

Avonhead Preschool, Christchurch New Zealand. Di sinilah tempat Adel akan memulakan penerokaan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar di New Zealand. Berpandukan modul program pengasuhan kanak-kanak yang menerapkan kurikulum Montessori dan Te Whariki, Adel akan berpeluang mendalami  pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan menghormati tatacara kehidupan masyarakat Maori. Tentu agak menarik bila Adel boleh menuturkan bahasa Maori. Berkaitan dengan yuran pra-sekolah, ia adalah percuma dan mendapat subsidi 20 hours ECE per week (Early Childhood Education) dari kerajaan New Zealand. Berbanding dahulu ketika di Malaysia, kami menghabiskan lebih RM1+++ setahun bagi memulakan pendaftaran di NURI Kindergarten dan yuran bulanan sebanyak RM410. Yang menariknya, tiada uniform dan tiada buku yang perlu dibeli bagi memulakan sesi pra-persekolahan di sini. Pakailah apa sahaja pakaian yang bersesuaian.

Ku panjatkan kesyukuran kepada Mu Ya Allah atas kemudahan persekolahan anak kami di sini.

"Sekilas pandang terus jatuh cinta untuk mendaftarkan Adel di pra-sekolah ini". 

Walaupun agak jauh berbeza dengan sistem pendidikan pra-sekolah di Malaysia, terus terang aku mengakui sistem pendidikan di sini lebih memberi makna dan unik dalam menggarap aspek perkembangan kanak-kanak. Sel-sel neuron otak dirangsang dengan pendedahan kepada pengalaman pembelajaran menerusi practical life dan aktiviti free-play seperti; "outdoor activities, puzzles, books, music, blocks, painting, water, collage, carpentry, dress ups and playdough." Adel juga telah belajar cara menggunakan penukul, paku dan kayu  untuk kerja-kerja pertukangan. Sesuatu yang agak berlainan di Malaysia yang menggunakan pendekatan bercorak Academic-Oriented dan Examination-Based.

Dalam 3 lawatan yang terdahulu bagi proses penyesuaian, agak payah untuk memahami emosi Adel. Sering sahaja berada di belakangku dengan muka masam dan cuba menyembunyikan diri, enggan berinteraksi dan melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan. Mendekati anak-anak bukanlah sesuatu tanggungjawab yang mudah. Dalam kesibukan kita sebagai ibu bapa terutama bagi mereka yang bekerja dan menguruskan rumahtangga kita agak mudah hilang fokus. Keadaan ini tentu sahaja membuatkan anak-anak rasa terpinggir. Biasanya kita akan dapati anak-anak akan sengaja melakukan perkara-perkara yang memeningkan kepala kita hanya sekadar ingin menarik perhatian ibu bapa. Dalam hal ini, Adel turut tidak terkecuali. Kena banyak bersabar dan memujuk. Insha'Allah, semua masalah boleh diatasi.

Dengan dorongan dan sokongan yang tak putus-putus dari tenaga pengajar di Avonhead Preschool. Kini, aku sudah boleh menarik nafas lega. Lawatan pada 11 November 2010 menunjukkan satu perubahan positif buat Adel. 




Adel semakin seronok dan gembira. 


Dalam perjalanan balik dengan berjalan kaki sejauh 2 km, Adel masih lagi bertenaga dan mampu untuk meredah keperitan sinar mentari 24 darjah Celcius, pada jam 12.30 tengah hari. 40 minit berjalan kaki!




Gelagatnya sangat menghiburkan. Walaupun kadangkala, Adel can be a little bit bossy! Sehinggakan gelaran 'Anak Raja' sinonim dengan Adel. Gelaran yang dianugerahkan oleh Big Daddy AMN.


Semoga keadaan ini akan berterusan. Insha'Allah, dengan ilmu, usaha, doa dan penegasan kita sebagai ibu bapa kita boleh mengawal minda bawah sedar dan tindakan kita terhadap anak-anak akan menjadi lebih baik. Berikanlah yang terbaik yang termampu bersesuaian dengan kudrat masing-masing untuk kita berikan kepada anak-anak kita.


“Sayangilah dan dekatilah anak-anak kita”


Wednesday, October 27, 2010

The Groynes In The Spring

Ingin melarikan diri dari kesibukan di kota ? 


The Groynes, menggamit hati sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Jika anda ingin menghirup udara segar, berehat untuk menenangkan fikiran, menikmati persekitaran yang hijau dan nyaman dan mendengar deruan air sungai yang mengalir di sekelilingnya, datanglah bertandang ke taman ini. Sambil mata menikmati keindahan alam semulajadi, telinga anda akan dijamu pelbagai bunyi unggas dan serangga, serta kicauan merdu bunyi sang burung yang berterbangan bebas di angkasa. Kelihatan anak-anak itik berenang-renang dengan riangnya di permukaan air sungai yang mengalir jernih. Sekiranya anda mendongak ke langit akan terlihat banyak debunga tumbuhan bermusim berterbangan di udara.



Ku bersyukur padaMu Ya Allah dapat berada di sini!

Sempena sambutan cuti Hari Pekerja pada 25hb Oktober 2010 yang lalu, Malaysian Postgrads and Families telah mengambil kesempatan mengadakan satu aktiviti riadah bersama keluarga iaitu piknik dan barbeques di The Groynes, yang terletak 9 km di Utara Barat Christchurch. Pada keseluruhannya, aktiviti yang disertai lebih kurang 50 orang ahli serta ahli keluarga ini dijalankan secara ringkas dan sederhana, tetapi ia telah mencapai matlamat dimana setiap ahli dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi antara satu sama lain. Di samping itu telah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli serta keluarga. 


Seawal jam 11.15 pagi  aku dan suami telah berkumpul di perkarangan rumah Kak Shidrah untuk mengikuti konvoi bersama-sama keluarga Kak Shidrah, Kak Mas, Saba, dan Kak Rita. Konvoi mula bergerak pada jam 11.20 pagi menuju ke Groynes Park. Perjalanan hanya mengambil masa selama 20 minit. Konvoi tiba di persimpangan jalan masuk dan bergabung dengan beberapa lagi keluarga Malaysian Postgrads yang hadir pada hari tersebut.



Alhamdulillah, walaupun agak ramai pengunjung pada hari tersebut  kami telah berjaya mendapatkan tapak yang luas untuk berpiknik yang bersebelahan dengan anak sungai. Acara pertama dimulakan dengan semua ahli bekerjasama mengemas barang-barang keperluan seperti makanan dan minuman. Seterusnya aktiviti yang amat ditunggu iaitu memasak BBQ ayam, angsa hitam, daging lembu, rusuk kambing serta sosej dan cendawan. Sementara menunggu BBQ kami menjamu selera dengan pelbagai hidangan potluck antaranya nasi beriyani, mee goreng, fish pie, salad sayuran, nasi daging kerutub, apam balik dan bermacam lagi juadah yang disediakan oleh rakan keluarga Postgrads. 

Jutaan terima kasih kepada Kak Rita dan keluarga yang mengelolakan aktiviti ini dan tidak lupa juga kepada semua ahli yang memberi sokongan serta kerjasama dari mula hingga akhir di sepanjang aktiviti ini dijalankan. Semoga aktiviti sebegini dapat meninggalkan kenangan yang manis bagi semua ahli. 

TAHNIAH DAN SYABAS kepada semua!

In the end... myself, hubby, Adel and Adam had a great time and a nice couple of hours at the Groynes.

 Adel get ready to launch the Iron Man.

Adam and fans.

Me, Adam and the green grass.

Me and My beloved husband.

And my masterpiece... Fish Pie fresh from the oven!

Saturday, October 23, 2010

Yeah! Saya sudah 5 bulan...


Catatan Bulan Ke-5 buat Mama...

Hari ini genap usiaku 5 bulan. Alhamdulillah, diri berasa beruntung kerana pada usiaku ini aku masih lagi memilih susu ibu sehingga kebutuhan nutrisinya dapat terpenuhi.

Terukir senyuman di bibirku melihat kelibat mama berada dekat denganku. Mama sering berkomunikasi denganku. Untuk tidak menghampakan mama aku sudah berupaya untuk menunjukkan ekspresiku yang tersendiri. Tertawa dan membuat berbagai suara dengan menggunakan lidah dan bibirku yang mungil. Mama begitu prihatin dengan keperluanku. Ternyata diriku sudah bisa mengeluarkan suara dan bunyi yang berbeda untuk memberitahu mama bahawa diriku sudah lapar, letih, atau sekadar ingin bermain-main. Jika aku ketawa, senyum, menangis, dan meragam mama akan segera memberi respons terhadapku. 



Berkaitan dengan perkembangan fizikal, pada tahap ini aku sangat menyukai untuk ditegakkan dalam posisi duduk. Untuk pertama kalinya, aku akan duduk dengan condong ke hadapan. Biasanya mama akan menyokong belakangku dengan bantal. Hmmm... nampaknya aku semakin bertambah kuat dan stabil dalam posisi duduk ini. Di bulan Ke-5 usiaku, gerakanku  semakin bervariasi. Otot leher dan otot tangan semakin menguat. Kini aku sudah pandai berputar dengan menggunakan tangan. Ketika diletakkan terlentang, aku akan menggunakan tangan untuk mendorong dan berguling membalikkan badanku. Bukan hanya berguling. Kini kaki kecilku pun semakin lincah menendang, menggeserkan kaki dan mendorong-dorongkan kakiku ke belakang. Seiring dengan lincahnya gerakan kakiku, otot leher dan punggungku pun menjadi lebih kuat. 
Di usia ini juga aku mulai tumbuh gigi. Gusiku sudah terlihat putih-putih dan banyak mengeluarkan air liur. Apabila mama terleka dengan cepat aku memasukkan kepalan tanganku ke dalam mulut. Aku sering menggosok-gosokkan gusiku dan menggigit tanganku. Aku juga sudah mulai tertarik melihat makanan. Sering aku memerhatikan makanan yang ada di piring mama, bahkan mencuba untuk meraihnya dan memasukkan ke dalam mulutku. Memasuki usia 5 bulan aku diberi makanan lembut. Buah Pear yang dipureekan; makanan pertamaku. Dengan lajunya aku memasukkan makanan dengan lidahku ke bahagian belakang mulut. Satu, dua, tiga suap dan aku sudah tersandar kekenyangan... Adam tidur dulu ya Mama...



Tuesday, October 19, 2010

Gempa susulan kembali bergegar di Christchurch.



Allah Hu Akbar !!!
Christchurch terus bergegar lagi apabila gempa susulan dengan kekuatan 5.0 magnitud pada skala Richter berlaku dalam tempoh 15 ke 20 saat.
Menerusi sumber GeoNet, gempa susulan yang melanda awal hari ini dikesan pada jam 11.32 pagi, pada kedalaman 9km berpusat kira-kira 10km ke Selatan-Barat Christchurch. Ekoran kejadian yang baru melanda itu, telah membuatkan kepalaku rasa pening malah hampir sahaja mahu termuntah. 
Tika aku menulis entri kali ini, kepalaku masih lagi berdenyut-denyut.
"Ya Allah, kuatnya gegaran kali ini". 
Ketika kejadian, aku dengan pantasnya menarik anakku Adel dan menggendong Adam yang sedang menangis teresak-esak masuk ke bawah meja. Dalam keadaan cemas dan masih terkejut itu, Adel sempat berkata, "Mama, mama kita nak main sorok-sorok ke mama?". 
Aku membiarkan sahaja soalan Adel itu tidak berjawab. Jantungku sudah berdegup dengan kencang. Seluruh tubuhku menggeletar. Ini adalah kerana kejadiannya berlaku tanpa amaran, menakutkan dan menggerunkan sesiapa sahaja.
Tiba-tiba kerusi dan meja tempat kami berlindung mula bergegar kuat. Rumah sudah mula bergoyang-goyang seolah-olah dipukul oleh gerakan ombak yang bergelombang besar dan bergulung-gulung. Aku tidak pasti apa yang perlu dilakukan lagi. 
Aku cuba bersikap tenang dan mengawal diriku. Semoga gempa susulan kali ini bergegar untuk masa yang singkat, cuma beberapa saat sehingga ianya berakhir. 




Thursday, October 14, 2010

Another aftershock in Canterbury

Suasana panik tercetus sekali lagi pada jam 4.53 petang semalam. Satu lagi gempa susulan dirasai dengan kekuatan mencecah 5.02 skala Richter dengan gegaran selama 10 saat. 

Terdahulu, gegaran telah mula dirasai sekitar jam 1.30 tengah hari dengan magnitud 4.1.

Kesan kekuatan gegaran gempa susulan itu turut dilihat apabila lantai rumah tempatku berpijak bergegar-gegar. Dinding dapur bergoyang seolah-olah aku mengelungsur ke lautan tika lautan ombak bergelora. Pinggan ditanganku hampir sahaja terlepas ke dalam mangkuk sinki.  

Dan setiap detik yang berlalu membuatkan hatiku terus berdebar-debar dan cemas saat gempa susulan yang berlaku itu. Degupan jantungku semakin laju dan kencang. Bebola mataku lantas mencuri pandang ke arah suamiku untuk mencari kekuatan. Ketika itu, yang terlintas di fikiran hanyalah nasib Adel dan Adam, dua orang anakku yang masih lagi kecil. Aku mula memikirkan yang bukan-bukan. Gempa susulan itu sekaligus mengembalikan nostalgia yang menghantui fikiranku akibat tragedi filem 2012 yang baruku tonton pada 2 hari yang lepas. Rumah penduduk runtuh, bangunan ranap menyembah bumi, suara jeritan dan tangisan penduduk yang lari bertempiaran berada di mana-mana, penduduk seolah-olah hilang punca serta tidak tahu di mana hendak mengadu nasib, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus, dan panorama kemusnahan demi kemusnahan seolah-olah kiamat sudah tiba berlegar-legar di kepalaku. Sungguh jauh fikiranku terbang melayang.

Sejenak aku terkesima. Aku cuba menenangkan diri dan beristighfar panjang.

Segeraku bermuhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran. Aku dan keluargaku masih lagi berada di bawah lindunganNya. Sebagai umat Islam yang menyakini adanya Allah s.w.t , adanya kuasa tuhan, adanya alam akhirat, mungkin kejadian ini sebagai tanda amaran dari Allah agar kita mendekatkan diri kepadaNya.


"Ya Allah, kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah). Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, nabi yang mulia, kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda amnya."

Insan beriman di kala pagi ia bertasbih dan berdoa, di kala petang tetap kerendahan jiwanya dengan berzikir dan mengingati Allah. Di kala malam hari, ia semakin menundukkan dirinya kepada Pencipta Yang Agung. 

Semoga aku senantiasa mengambil pandangan positif sebagai bentuk muhasabah diriku ini yang tidak seberapa amalannya, yang sentiasa mengharap untuk menjadi mukmin sejati. Semoga bibirku sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan Yang Maha Pencipta, dan kemudian sentiasa berdoa dan mengharapkan keredhaan-Nya. 

InsyaAllah.









Friday, October 8, 2010

A peek at the inside of tulips


Kasihan si Adam. Matanya yang bulat itu meraih simpatiku.

Hari ini bayi kecilku, Adam meragam lagi. Adam mula menunjukkan tanda-tanda tumbuh gigi. Usia Adam sudah menjangkau 4 bulan minggu yang kedua dengan berat 8.5 kg dan ketinggian 68 cm.  

Adam sudah pandai menggigit. Itu menunjukkan kelenjar liurnya menjadi aktif dan aku juga perlu menjadi kreatif. Adam suka gusinya digosok. Nasib baik ada kain bedung yang makcik Ju nya jahitkan dari Malaysia. Kain bedung itu jugalah yang dihisap dan menjadi rakan sepermainan.  

Adam menangis lagi.

Langsung tak boleh berenggang walaupun sekejap. Letihnya badan. Leher, bahu dan pergelangan tangan sudah berasa lenguh. Sengal-sengal mulai merayap di bahagian belakang dan pinggang.

Hari yang kurang produktif. Agenda hari ini terpaksa ku tangguhkan lagi. Mujur si Adel sudah pandai membawa diri. Leka dengan mainan LEGO barunya. Terima kasih, atuk! Adel dapat duit poket barulah dapat beli mainan LEGO ni. Adel cakap nak buat rumah 'atuk house'.

Dan Adam menangis lagi.

Lewat petang, suamiku pulang sambil memunggah barang-barang keperluan rumah keluar dari but kereta.

Kepulangannya ku sambut dengan senyuman. Dan senyumanku semakin melebar melihat barangan yang terakhir. Hilang sudah kepenatan seharian. Sengal dan lenguh sudah tidak terasa lagi.

And say, Yes !!! to Tulips. My Tulips.

Terima kasih, abang.

Monday, October 4, 2010

Our new New Zealand home

Masa terus berlalu dengan begitu pantas. Sedar tak sedar sudah 19 hari pengembaraanku di bumi Aotearoa. Anakku yang sulung, Adel sibuk dengan play-acting. Adam sudah lama melelapkan matanya. Hmmm... waktu terluang begini membolehkan aku mengemaskini blog yang telah lama tak ku lawati.

Tropics Superlink, Palm Villa and Golf Residences IOI Bandar Putra, Kulai. Istana pertama kami di Malaysia. Melihat koleksi gambar rumah teres 2 tingkat, membuatkanku mengimbau kembali kenangan pahit dan manis bersama ahli-ahli keluarga yang datang mengunjungi kami pada waktu terluang. Keriuhan suara kak long, abang Din, kak Ju, abang Man, Tasya dan Aqilah memenuhi ruang tamu. Oh rindunya dengan kenangan itu... 3 famili Kulai.

[Bandar Putra, Kulai Johor Malaysia]

Avonhead, Christchurch New Zealand. Baru sekarang diri ini menyedari, sesungguhnya ada hikmah di atas segala kesukaran dan bermacam-macam halangan yang terpaksaku tempuhi untuk sampai ke sini. Saat yang paling sukar adalah apabila berjauhan dengan suami tercinta dalam tempoh berpantang selepas melahirkan Adam. Sukarnya mengawal mental dan emosi. Penatnya memujuk hati dan memendam rasa hati.

Kini aku lebih tenang.

Ketenangan yang dikurniakan Allah yang kini menjadi milikku. Nikmatnya memiliki sebuah ketenangan. Hati ini tenang biarpun tinggal di negara yang majoritinya bukan seagama mahupun sebangsa. Hati ini bahagia biarpun dengan duit yang terpaksa dijimatkan. Hati ini lebih ceria walaupun menghuni rumah yang jauh lebih kecil daripada rumah di Malaysia.

Kadangkala hatiku berbisik dan tertanya-tanya, mengapa lebih mudah mencari ketenangan di negara orang, namun sukar menemuinya di negara sendiri.

Subhan'Allah... Allahu Akbar... Astaghfirullah... semoga aku termasuk di dalam golongan manusia yang senantiasa bersyukur.

[Avonhead, Christchurch New Zealand]


[NZ House warming and Raya Celebrations]

Wednesday, September 29, 2010

Kesyahduan di pagi 19 Syawal 1431H.


Sebaik sahaja anak sulungku bangun dari tidur pagi tadi, bergegas dia bangkit dari katilnya dan berlari ke ruang tamu. 

Ruang tamu sunyi sepi dan kosong. 

Bebola matanya liar mencari sesusuk tubuh milik atuk Nawi dan nenek Tip.

"Mama, mana atuk ? Mama, mana nenek ?" kata anak sulungku, Adel.

"Atuk dengan nenek dah balik rumah atuk dekat Malaysia." balasku.

"Balik Malaysia?" Adel mengeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak setuju.

"Atuk nak kena balik sebab nak kena pergi kerja, nenek nak kena teman atuk lah dekat sana. Adel, Adam, mama dengan abah kena duduk dekat sini... dekat New Zealand." jelasku pada Adel dengan harapan agar dia bisa mengerti.

"Ala, mama... Adel nak balik rumah atuk. Adel tak nak duduk kat sini." Adel sudah mula merengek-rengek.

Air mata mula bergenangan, menakung berat di kelopak mataku lalu tertumpah mengalir perlahan di dataran pipi.

Korek perigi di parit seberang, 
Tepi parit tumbuh mengkudu, 
Berselang dengan pohon puding, 
Hidup subur kanan dan kiri; 

Tuan pergi dagang seorang, 
Tiada saudara tempat mengadu, 
Tiada saudara tempat berunding, 
Pandai-pandailah membawa diri. 

(Keratan dari Permatang Budi, 1991. Antologi Kerusi Fajar Bukti Sdn. Bhd.)