Sunday, March 27, 2011

Terapi alam musim luruh di West Coast, New Zealand

West Coast, New Zealand menjanjikan percutian penuh kenangan.


Baru-baru ini kami bersama rakan berkesempatan menerokai destinasi-destinasi menarik di pantai barat Pulau Selatan, bermula dengan ikon yang tersenarai dalam Warisan Dunia di South Westland Glacier, mendulang emas di Shantytown dan pesona air sungai Hokitika Gorge di perkakian gunung yang berwarna biru kehijauan batu firus. Khazanah alam semula jadi ini merangkumi pelbagai landskap yang amat mempesonakan, di sepanjang pesisir baratnya terdapat pergunungan Alps Selatan sehinggalah ke tepian pantai yang dipukul ombak di perairan Lautan Tasman. Jika dihitung, jarak perjalanan dengan memandu kereta yang bermula dari Christchurch via Arthur's Pass hingga ke pantai barat mencecah hampir 300 kilometer. Mungkin agak jauh, namun jika dinilai percutian yang dikelilingi kedamaian tasik biru, sambil menikmati matahari terbenam mungkin mampu merubah tanggapan anda. Nama Maori dari pulau ini adalah Te Wai Pounamu yang membawa maksud "Air batu hijau/ Jade". Keindahan unik New Zealand yang terbentang tiada batasnya dan sememangnya destinasi percutian ideal sepanjang tahun.

Entri kali ini merakamkan detik kenangan manis sepanjang percutian pertama di West Coast, New Zealand...

Sabtu

12 tengah hari: Selepas hampir 90 minit menaiki kenderaan kami memutuskan untuk berhenti rehat di Lake Lyndon sambil menikmati Salmon dan Avocado Sushi yang dibawa dari rumah. Cukup berselera menjamah hidangan dalam persekitaran yang sungguh nyaman - lengang, masih tidak terusik dan amat menakjubkan. Kami turut tidak ketinggalan untuk merakamkan beberapa keping gambar di sekitar tasik yang pasti menambat hati hingga berat untuk meninggalkannya. 


Meneruskan perjalanan kami tiba di Castle Hill berdekatan dengan State Highway 73 yang terletak antara Darfield dan Arthur's Pass. Niat menjejaki Castle Hill dan melihat lebih dekat lokasi pengambaran filem "The Chronicles of Narnia: the Lion, the Witch and the Wardrobe" memang sudah lama tersimpan. Akhirnya, peluang dinanti-nanti kunjung tiba. 


Ralit dibuatnya melihat karya semula jadi agung yang menunjukkan kebesaran ciptaan Tuhan. Cuaca baik pada waktu itu membuatkan perjalanan cukup mendamaikan. Lihat sahajalah telatah Adel dalam gambar yang sempat dirakamkan di sekitar Castle Hill.

"Kiri..."

"Kanan..."

"Lompat si katak lompat..."

"Sejuknya..."

Puas menghabiskan sisa petang di Castle Hill, perjalanan kami diteruskan dan melalui Arthur's Pass. Tumpuan selanjutnya adalah melihat seni kejuruteraan The Otira Gorge Road yang mengkagumkan. Tapak di mana binaan dibuat bagi menghubungkan jalanraya dibawah saliran air terjun yang menderu dari celah pergunungan. 


Perjalanan sepanjang Arthur's Pass melalui kawasan pergunungan memberi kami peluang menikmati keindahan yang tidak dimamah zaman dan begitu menginsafkan. Dengan rupa pergunungannya yang berceracak, terpencil dan luas menunjukkan betapa kerdilnya manusia di sisi Allah. 

Sebelum tirai petang berlabuh kami meneruskan perjalanan ke destinasi penginapan iaitu di Hokitika Holiday Park. Di sepanjang jalan kami disajikan dengan keindahan pesisir pantai Hokitika sejurus keluar dari kawasan pergunungan. Begitu indah dan asyiknya. Sejurus mendaftar masuk di tempat penginapan yang terletak berhampiran bandar Hokitika, kami membersihkan diri dan bersiap sedia untuk meronda kawasan bandar. Namun, nampaknya bandar di sini sudah mula 'tidur' kerana kebanyakan kedai sudah tutup awal. Walau bagaimanapun, kami rasa berbaloi dengan kemudahan serta kebersihan di sini dan yang paling untungnya kami berjaya meminjam set barbeque milik pengusaha Holiday Park. Kami menikmati hidangan makan malam secara BBQ dengan Steak dan Burger daging yang dibuat sendiri dari rumah.       

Misi bersiar-siar bersambung untuk hari berikutnya... DAN
hari esok pastinya menjanjikan aktiviti lebih padat.