Tuesday, November 16, 2010

Aku, Tram & Cathedral Square



Jika anda sampai ke pusat bandar raya Christchurch jangan lepaskan peluang bersantai dengan menaiki perkhidmatan tram. Perjalanan menaiki tram pastinya meninggalkan jejak dan kesan yang tidak bisa dilupakan dalam ruang hati dan di benak fikiran masing-masing. Sambil mata menyusuri kejernihan sungai Avon, kita akan turut terpaku pada keunikan struktur reka bentuk bangunan serta diperdengarkan dengan komentar-komentar menarik daripada pemandu tram yang ramah mesra. Dengan satu tiket yang dibeli, kita boleh turun di mana-mana 11 perhentian tram dan menyambung semula perjalanan pada perhentian seterusnya.




Bila peluang sudah berada di hadapan mata? Pastinya aku akan merakam memori indah untuk dikhabarkan dan diberitakan khususnya buat keluarga, teman dan sahabat yang berada di Malaysia.




Entri kali ini, membawa eksplorasiku di hujung minggu bersama suami, Adel dan Adam ke Cathedral Square. Christchurch Cathedral merupakan mercu tanda yang menjadi tumpuan ramai bagi meredakan tekanan dan kepenatan selepas bekerja. 




Ikon arkitektur yang termasyhur iaitu The Chalice menjadi antara tempat wajib untuk dikunjungi. 




Seronoknya Adel dapat berjalan-jalan dan mengabadikan kenangan bergambar di hadapan Chalice.


Peluang bersiar-siar kali ini umpama serampang dua mata buat diriku. Sambil melepaskan lelah dan kepenatan menguruskan bayi kecil yang meragam tak tentu waktu, kami sekeluarga dapat meluangkan masa kualiti bersama. 




Dan satu pengalaman baru buat diriku, usai penat berjalan kami berehat sambil berbaring di atas rumput di tepi sungai Avon yang dirimbuni pepohan nan menghijau. Sempat jua aku terlelap sebentar. Bila kelopak mataku terbuka, aku menjadi lebih bertenaga. Emosi dan jiwa juga menjadi lebih tenang. Seolah-olah ion-ion negatif telah meresap dan menambah kepekatan oksigen dalam darah. Justeru, aku lebih bertenaga dari sebelumnya. 




"Bersih ke nak baring atas rumput?" Soalan yang agak tipikal pada pandanganku. 


Bukankah sudah terbukti menerusi kajian klinikal dan saintifik tentang keupayaan ion negatif dalam pembuangan toksik dan juga sebagai agen anti pengoksidaan yang dapat meningkatkan fungsi sel dan organ secara menyeluruh. 


Lantaran itu, manfaatkanlah segala limpahan kurniaan Maha Suci Allah untuk dikaji dan direnungi bersama.


Jumpa lagi di entri yang akan datang. Insha'Allah!




Dan salam sayang ditujukan buat suamiku... dalam kesibukan beliau bekerja dan berhempas pulas untuk melunaskan PhD sempat jua meluangkan masa bersamaku dan anak-anak di Cathedral Square. Terima kasih daun keladi untuk gambar-gambar menarik dari lensa abang!

2 comments:

  1. Siti Salmah Erang ke ni? Wahhhh.aper cerrr?

    ReplyDelete
  2. Presiden Homeroom Gemilang, tak kan boleh lupa dekat satu homeroom nih. :)

    ReplyDelete