Thursday, January 27, 2011

Magis Sumner Beach, Christchurch


Berjalan di persisiran pantai Sumner sambil menikmati hembusan bayu laut sebagai mukadimah pada petang yang damai sekali. Cuaca langit membiru dengan pasir halus bersih menggambarkan pantai ini cukup terpelihara daripada sebarang pencemaran. Alunan ombak begitu mengasyikan sekali.
 
Aku yang pertama kali berkunjung ke pantai ini mengambil kesempatan merakam gambar kerana teruja dengan pantainya yang bersih meletakkan pantai ini di kelasnya tersendiri. Panorama menarik menghadap Lautan Pasifik dan Teluk Pegasus mencetuskan persekitaran serba mendamaikan. Pantai Sumner sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Sambil menikmati makanan tengahari dengan hidangan yang dimasak dari rumah mataku melilau jauh ke pesisir pantai melihat kanak-kanak bermain air sambil ditemani ahli keluarga. Untuk seketika aku sampai terleka kerana terkesima dengan keindahan panorama di tepian pantai. Apatah lagi dengan pasir yang memutih dan air yang cukup jernih. Semuanya ini bagaikan mimpi sedangkan realitinya begitulah hebatnya keajaiban ciptaan Illahi. 

Pandanganku tiba-tiba bertembung dengan seorang penduduk tempatan yang tersenyum mesra sambil melintas di hadapanku. Dia kelihatan penuh komited mengutip beberapa sisa sampah yang terdapat di celah-celah batu di gigian pantai. Seorang penduduk tempatan yang kelihatan sudah berusia, masih cergas berjalan mengunjungi pantai. Bukan pihak Majlis Perbandaran, hanyalah penduduk biasa yang sayangkan keindahan. Terdetik di hatiku yang pengalaman ini tidak akan dapat dirasai di pantai yang terletak di Semenanjung Malaysia. Bukanlah niatku untuk prejudis namun itulah hakikatnya. Tahap kesedaran dan komitmen penduduk tempatan di New Zealand amat tinggi kerana mereka menganggap isu alam sekitar penting. Lantaran itu, keindahan dan kebersihan pantai Sumner ternyata berbeza sekali dengan pantai-pantai lain yang pernah aku kunjungi. 

Tambah mengujakan, kebiruan air laut Pasifik bagaikan memanggil aku untuk bersamanya. Aktiviti bermain ombak di tepian pantai bersama suami, Adel dan Adam ternyata menyeronokkan. Siapa sangka aku telahpun mencecahkan kaki di paras buku lali di sebahagian lautan terbesar iaitu lautan Pasifik.

Kami turut berjalan di sepanjang tepian pantai sambil memerhatikan kumpulan burung camar berterbangan dan berlegar di satu kawasan. Tenang dan mendamaikan.

Tanpa disedari cuaca petang mula beransur gelap. Puas menjamu keindahan pantai, kami pulang dengan seribu senyuman!

Nyata keseronokan mengunjungi pantai ini tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Hanya pengalaman mampu mentafsirkannya sebagai 'syurga dunia' bagi mereka yang inginkan ketenangan.

Pantai Sumner, nantikanlah kedatangan ku sekali lagi...

9 comments:

  1. Pergi ke depan sikit sampai ke Taylor's Mistake, lebih private dan tertutup..

    ReplyDelete
  2. beznyer...tmpg gmbire dgr pglaman ko....rse cm brade kt sane kjap plak....heheheh

    ReplyDelete
  3. gmbo 3 org je.....huhuh abg dolah xde, jd cameraman eh....npe x suh org yg kutip smpah 2 amekkan gmbo 4 org?huhuhuhu...bru la bez

    ReplyDelete
  4. arayofhope; Insha'Allah... next time sampailah kami ke sana pulak.

    fatia; best kan! esp. tang pijak lautan pasifik tuh... hehehehe...

    noy; hahahaha.... sbb sudah terpana tengok org biasa kutip sampah, dkt m'sia mungkin ada cuma aku tak pernah tengok lagi yg saje2x kutip sampah dgn penuh rs tanggungjawab. itu yg x sempat nk mintak tolong amik gambar tuh

    ReplyDelete
  5. huhuhu..ye ar tuh....mmg xde pon aku rse...yg ade org yg mmg kje die mengangkat sampah je la...MBSA...Alam Flora....huuhu

    ReplyDelete
  6. sbb itu sampah penuh je, susah nak ubah manusia yg mentaliti kelas ke3

    ReplyDelete
  7. akak pergi sumner ye? naik atas sikit "taylor mistake".. best jugak,leh mandi2 kt situ ;)

    ReplyDelete
  8. yan, belum sempat lagi nak explore kat Taylor Mistake tuh. baby dh kesejukan main angin laut kat sumner :)

    ReplyDelete