Thursday, January 27, 2011

Westburn Bike Park

Kesempatan meluangkan masa bersama ahli keluarga tersayang bukan sekadar menjadi peluang bersantai, tapi paling penting, merapatkan silaturahim yang mungkin terbatas akibat kekangan kerja dan tanggungjawab lain. Justeru, bila sahaja ada peluang aku lebih suka membawa Adel ke taman permainan. Ini penting, kerana selain mengelakkan kebosanan, ia juga menjadi syarat waktu santai dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Taman permainan dan aktiviti luar sememangnya suatu perkara yang menyeronokkan serta boleh dikatakan sebagai aktiviti bersenam tidak formal buat Adel.

Terletak berhampiran Westburn Terrace, Burnside aku memilih untuk membawa Adel ke Westburn Bike Park yang cukup popular dengan sistem Mini Road yang dikhususkan bagi kanak-kanak. Taman ini lengkap dengan roundabouts, railroad crossing, pedestrian crossings, one way bridges, Give Way, STOP signs dsb. Taman Permainan ini turut menawarkan pelbagai kemudahan menarik bagi memastikan aktiviti santai anda menyeronokkan seperti tandas awam, drinking fountain, playground equipment, tempat duduk dan pepohon yang merendang bagi memayungi dari keterikan panas mentari.

Nikmatilah gambar yang dirakamkan sebagai koleksi pengalaman santai kami di sini...

 AdelAdvice 01: Cycling can improve your mood and raise self-esteem.

  AdelAdvice 02: Cycling is good for your heart and health.

  AdelAdvice 03: Cycling can help to maintain strength and coordination.

  AdelAdvice 04: Cycling improves fitness.

  AdelAdvice 05: Cycling boost your confidence.

AdelAdvice 06: Cyclists breathe in less fumes than car drivers.

  AdelAdvice07: Helmets can reduce the number and severity of head injuries in cyclists.

 AdelAdvice08: Cycling makes you a new friend.

AdelAdvice 09: Or you can experience the thrill of racing a scooter.

Bye for now... :)

Magis Sumner Beach, Christchurch


Berjalan di persisiran pantai Sumner sambil menikmati hembusan bayu laut sebagai mukadimah pada petang yang damai sekali. Cuaca langit membiru dengan pasir halus bersih menggambarkan pantai ini cukup terpelihara daripada sebarang pencemaran. Alunan ombak begitu mengasyikan sekali.
 
Aku yang pertama kali berkunjung ke pantai ini mengambil kesempatan merakam gambar kerana teruja dengan pantainya yang bersih meletakkan pantai ini di kelasnya tersendiri. Panorama menarik menghadap Lautan Pasifik dan Teluk Pegasus mencetuskan persekitaran serba mendamaikan. Pantai Sumner sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Sambil menikmati makanan tengahari dengan hidangan yang dimasak dari rumah mataku melilau jauh ke pesisir pantai melihat kanak-kanak bermain air sambil ditemani ahli keluarga. Untuk seketika aku sampai terleka kerana terkesima dengan keindahan panorama di tepian pantai. Apatah lagi dengan pasir yang memutih dan air yang cukup jernih. Semuanya ini bagaikan mimpi sedangkan realitinya begitulah hebatnya keajaiban ciptaan Illahi. 

Pandanganku tiba-tiba bertembung dengan seorang penduduk tempatan yang tersenyum mesra sambil melintas di hadapanku. Dia kelihatan penuh komited mengutip beberapa sisa sampah yang terdapat di celah-celah batu di gigian pantai. Seorang penduduk tempatan yang kelihatan sudah berusia, masih cergas berjalan mengunjungi pantai. Bukan pihak Majlis Perbandaran, hanyalah penduduk biasa yang sayangkan keindahan. Terdetik di hatiku yang pengalaman ini tidak akan dapat dirasai di pantai yang terletak di Semenanjung Malaysia. Bukanlah niatku untuk prejudis namun itulah hakikatnya. Tahap kesedaran dan komitmen penduduk tempatan di New Zealand amat tinggi kerana mereka menganggap isu alam sekitar penting. Lantaran itu, keindahan dan kebersihan pantai Sumner ternyata berbeza sekali dengan pantai-pantai lain yang pernah aku kunjungi. 

Tambah mengujakan, kebiruan air laut Pasifik bagaikan memanggil aku untuk bersamanya. Aktiviti bermain ombak di tepian pantai bersama suami, Adel dan Adam ternyata menyeronokkan. Siapa sangka aku telahpun mencecahkan kaki di paras buku lali di sebahagian lautan terbesar iaitu lautan Pasifik.

Kami turut berjalan di sepanjang tepian pantai sambil memerhatikan kumpulan burung camar berterbangan dan berlegar di satu kawasan. Tenang dan mendamaikan.

Tanpa disedari cuaca petang mula beransur gelap. Puas menjamu keindahan pantai, kami pulang dengan seribu senyuman!

Nyata keseronokan mengunjungi pantai ini tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Hanya pengalaman mampu mentafsirkannya sebagai 'syurga dunia' bagi mereka yang inginkan ketenangan.

Pantai Sumner, nantikanlah kedatangan ku sekali lagi...

Wednesday, January 19, 2011

Pukauan & Keunikan Karya Ron Mueck


Anda mahu bersiar-siar di sekitar bandar dan pada masa sama, berhasrat mengunjungi pameran bertaraf antarabangsa yang julung kalinya diadakan di Christchurch Art Gallery!

Lalu apakah pilihan yang anda ada?


Apa kata, pengalaman itu anda simpulkan menerusi kunjungan ke pameran karya-karya Ron Mueck yang menghangati ruang pameran Te Puna O Waiwhetu Christchurch Art Gallery bermula 2 Oktober 2010 hingga 23 Januari 2011. Menurut sumber terkini The Press NZ, pameran Ron Mueck telah memecah rekod kunjungan dengan pencapaian melebihi  100,000 ribu pengunjung sejak ianya mula ditayangkan. Jumlah kutipan keuntungan pula telah dianggarkan sebanyak $700 000 ke $800 000. Meskipun sudah dicanang sebagai pameran antara yang terhebat, bagi diriku pengalaman menghabiskan masa hujung minggu di Christchurch Art Gallery mengajakku berfikir bahawa...

"Daya imaginasi mampu melangkaui sempadan realiti." 


Ikuti pengalaman pertama yang cukup berharga yang dinikmati oleh diriku, dan keluarga pada bulan November 2010 yang lepas... 

Adel di ruang legar utama menuju ke Art Gallery.

Sekiranya anda membawa kanak-kanak, bimbingan dan pengawasan oleh ibu bapa amatlah memainkan peranan utama sepanjang kunjungan ke galeri. Lebih menarik, rakaman digital turut dibenarkan tanpa menggunakan flash dan menjadikan lawatan anda amat bermakna. 

Please Note: The human body – naked and clothed, and from birth through to death – has been a favoured subject in art for centuries. Ron Mueck's sculptures are part of this tradition. Some of his figures are clothed, others are not.

Siapa yang tidak mengenali Ron Mueck? Tersohor dengan karya beliau yang diabadikan dalam setiap ukiran patung super hiper realis menggunakan pelbagai media. Hasil karya beliau mengungkapkan pelbagai ekspresi wajah yang memancarkan berbagai karakter imaginatif mengikut peredaran kitar kehidupan manusia; iaitu bermula sejak dilahirkan, pertengahan usia, dan saat manusia berdepan dengan penuaan.

Memang unik dan mengkagumkan! 


Ternyata percaturan kami sememangnya berbaloi kerana dengan harga tiket $15 seorang bagi dewasa, percuma bagi kanak-kanak bawah 5 tahun memberi tempoh masa yang panjang untuk kami melihat ke semua 13 panel pameran yang memuatkan karya antaranya Dead Dad, Mask II, Pregnant Woman, a Girl, Man in a Boat, Wild Man, Still Live, Woman with Sticks, In Bed, Two Women, dan juga Old Woman in BedRon Mueck memang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pembuat patung unik, yang meniru susuk tubuh badan manusia dengan kemahiran teknikal yang tinggi


Umumnya, karya beliau mendapat liputan meluas oleh kebanyakan media cetak dan media elektronik antarabangsa. Karya Ron Mueck bukan hanya memfokuskan kepada pengalaman universal manusia seperti kelahiran, kehidupan dan kematian semata. Karya beliau turut menzahirkan keadaan emosional manusia seperti keterasingan, ketakutan, ketenangan dan juga kelembutanKarya patung manusia yang dihasilkan oleh beliau sangat realistik dimana replika tersebut telah dihasilkan dengan gentian fiber, polyester resin, synthetic hair, synthetic polymer paint, dsb.


Tanpa perlu untuk mengulas dengan lebih terperinci lagi, berikut disertakan beberapa foto yang sempat aku dan suami rakamkan untuk tatapan kepada sesiapa yang berminat untuk mengenali Ron Mueck. Tuntasnya, karya beliau mampu membuat kami terpegun di samping beristighfar panjang... 

Ron Mueck Dead Dad


Karya pertama yang terbaring di lantai pameran adalah patung hiper realistik Ron Mueck Dead Dad. Replika tersebut berukuran 3 kaki panjang memaparkan konfrontasi pada saat ayah Ron Mueck berdepan dengan kematian dan kesakitan, dicampur dengan refleksi pada keadaan transendental kita. Keadaan ruang pameran yang gelap dan sunyi menambahkan lagi rasa seram yang bisa membuatkan bulu roma kita meremang.


Ron Mueck Mask II


Karya hiper realistik beliau yang kedua, yang juga menjadi kegemaran kudisebut Mask II ... adalah merupakan sebuah replika raksasa menyerupai wajah Ron Mueck. Sekilas pandang  mirip majah Bruce Campbell. Replika tersebut ternyata nampak hidup yang memaparkan ekspresi wajah ketika sedang  tidur dengan mata tertutup rapat yang mengungkapkan segalanya. Tanpa kata, tanpa suara Mask II berkata... "betapa lelahnya, betapa penatnya diriku hari ini"! Merenung patung Mask II membuatkan aku terfikir sejenak pada ketika melihat wajah insan yang tersayang pada saat sedang tidur. Saat itu yang tampak kelihatan adalah ekspresi wajah paling jujur dari air muka seseorang. 


Perhatikanlah wajah ayah, ibu, suami, dan anak-anak kita ketika sedang tidur!


"Seorang ayah yang kian uzur, saban waktu bekerja keras untuk kesejahteraan anak-anaknya."
"Seorang ibu yang selalu sakit dengan kulit tangan semakin kasar kerana menempuhi kehidupan penuh cabaran demi mendidik dan membesarkan anak-anaknya."
"Seorang suami yang bekerja keras mencari nafkah."
"Seorang anak yang menemani hari suka dan duka."


Cubalah menatap wajah mereka ketika sedang tidur dan rasakan sensasi yang timbul sesudahnya. 
 
Hmmm... sampai begitu sekali yang bermain di ruang fikiran apabila menatap Mask II. Mask II juga turut membuatkan diriku terasa begitu ingin menyentuhnya. Mujur terdapat sampel bahan di dinding pameran yang membenarkan para pengunjung merasai sendiri pengalaman menyentuh sampel bahan dan media dalam mereka bentuk wajah Mask II.


Di pertengahan ruang Borg Henry Gallery yang tersergam dengan begitu selesa dan mewah, anda akan berpeluang menyaksikan rakaman video yang menerangkan tentang proses yang berlaku ketika menghasilkan replika super hiper realistik patung-patung oleh Ron Mueck. Agak sulit membayangkan kesabaran yang diperlukan untuk membuat sesuatu dengan begitu terperinciSetiap rambut, urat saraf dan vena tampak jelas dan seperti hidup, bernafas... seperti dalam mimpi. Ini mungkin merupakan pameran terbaik yang pernah aku kunjungi. Namun begitu, ku beristighfar lagi... dan sesungguhnya sejauh mana kehebatan manusia... hanya Allah yang mampu memberi nyawa kepada sesuatu jasad. Segala-galanya di alam ini begitu sempurna dan teratur kerana Allah Maha Pencipta dan Dia telah meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.


"Dia (Allah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah (mungkin) Dia mempunyai anak, padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya." 
(Surah Al-An'am: 101)


Karya keempat, Ron Mueck A Girl yang menjadi tarikan utama. 

Ron Mueck Sculpture, amat jelas kesan luka yang ditunjukkan.

Man in a boat

Wild man nampak agak tidak terurus.


In bed


Still live

Two Women


Two women and inter-frame oleh En. Husband

Surfing

Old Woman in Bed

In Bed

Berkali-kali ganda saiznya.

Saiz kecil bukan penghalang untuk bermesra, sempat lagi mengerling  ke arahku dan Adam.

Ha ha ha... pergerakan Adel telah dikawal ketat oleh pegawai pameran.

 
Catatan sebelum meninggalkan Art Gallery dengan 1001 kenangan untuk dikongsikan.


Tuesday, January 18, 2011

Misi Pencarian Hobbit di Christchurch!

[Taken from The STAR; The best read free newspaper in Christchurch]

Minggu lepas, aku agak teruja untuk menghadiri sesi uji bakat di Fendalton Community Centre, 170 Clyde Rd. bagi membintangi watak sebagai orang kerdil The Hobbit. Namun rezeki tidak berpihak padaku memandangkan ketinggianku yang mencecah 165 cm. Amat tidak menepati kriteria yang dinyatakan. 

Seperti mana yang diketahui ramai sebelum ini, filem prekuel trilogi The Lord of The Rings iaitu The Hobbit masih lagi dalam pencarian bagi membintangi watak sebagai orang kerdil The Hobbit. Bermula 15 Januari 2011, Christchurch bakal menetaskan bakat baru untuk membintangi filem Sir Peter Jackson's yang akan memulakan pengambaran pada Februari 2011 di New Zealand. Penghasilan filem trilogi LOTR mencipta demamnya yang tersendiri dikalangan peminat untuk mengunjungi New Zealand. Jika ada rezeki dan kesempatan mungkin aku juga akan mengunjungi salah satu lokasi pengambaran LOTR; The Shire ataupun lebih dikenali sebagai Hobbiton.

Hmmmm... mungkin pada satu masa dan ketika jika diizinkan.

Monday, January 10, 2011

Sepagi di Pasar Ahad Riccarton



Seawal jam 9.00 pagi Ahad, kami tidak melepaskan peluang mengunjungi Pasar Ahad di Riccarton Park Racecourse, Christchurch yang merupakan antara pasar minggu terbesar yang terdapat di New Zealand. Dibuka pada setiap hari Ahad dari jam 9.00 pagi hingga jam 2.00 petang. 

Kesempatan pada kunjungan pertama ini membuka ruang untuk kami mengenali serta mendapat gambaran sebenar tentang kehidupan dan kebudayaan golongan petani di New Zealand sambil keluar berbelanja.


Ruang perniagaan di Pasar Ahad merupakan kawasan paling sibuk dengan jumlah gerai melebihi 300 buah. Anda boleh membeli hampir apa sahaja di Pasar Riccarton. Selain sayur-sayuran dan buah-buahan segar, Ia juga menawarkan produk tekstil, barangan seni, perkakasan rumah, perhiasan diri buatan tangan, pakaian yang murah, buku-buku terpakai, keunikan produk kraftangan yang menjadi cendera hati paling popular di kalangan pelancong. 


Pasar Ahad Riccarton hampir sama sahaja dengan Pasar Malam di Malaysia. Cuma sesuatu yang agak mustahil untuk mencari juadah makanan pelbagai seperti nasi kerabu, nasi dagang, dan 1001 lagi variasi makanan yang terdapat di Malaysia. 


Jika anda ingin menikmati suasana santai, atau berpiknik bersama rakan dan keluarga berkunjunglah ke pasar ini. Anda pasti berasa asyik melihat produk-produk hasil kebun yang segar. Sambil berehat, telinga anda akan dihiburkan dengan alunan muzik daripada beberapa artis tempatan. 


Suasana meriah dan keramahan penduduk tempatan menjadikan lawatan di pasar ini sangat menyeronokkan. Tempat meletakkan kenderaan juga banyak disediakan dan hanya mengambil masa selama 15 minit dari pusat bandar. 


Cara terbaik untuk memulakan hari anda di pasar ini ialah dengan menikmati secawan kopi yang harum aromanya. Pasar Riccarton adalah merupakan zon bebas alkohol dan amat sesuai untuk dikunjungi jika anda datang bertandang ke Christchurch. 


Apa yang menariknya, kawasan persekitaran amatlah dijaga rapi dan bersih tanpa longgokan sisa sampah sarap. Di sini penduduk lebih bertanggungjawab dan bersikap sopan dalam menjaga dan mengekalkan keindahan alam sekitar. 


Malah pada setiap penjuru disediakan dengan tong sampah. Anda juga boleh menjamu mata dengan keindahan persekitaran dan berehat di kawasan lapang yang berpermaidanikan rumput hijau. Kunjungan di sini juga amatlah menenangkan sekali. 


Apa yang pasti, Pasar Ahad Riccarton menggamit hatiku untuk berkunjung sekali lagi ke sana. Terbayang di mataku jaket kulit berjenama New Zealand yang berharga ratusan NZ Dollar tetapi telah berjaya dibeli dengan hanya NZD5. 


Masih Elok, Cantik dan dijamin Berkualiti Tinggi!

Wednesday, January 5, 2011

Imaginasi & Kreativiti Adel


Alhamdulillah, imaginasi dan kreativiti Adel semakin berkembang sejak memasuki alam prasekolah di sini. Adel juga sudah belajar berinteraksi dengan lebih kreatif dan berusaha meluahkan perasaan melalui hasil aktiviti seni yang menjadi kegemarannya iaitu melukis.



Adel sangat gemar melukis dan mewarnakan lukisan. Adel akan melakukannya tanpa disuruh. Dan yang paling penting sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyokong idea dan ciptaan mereka - bukan mengkritik atau cuba membetulkan rupa atau hasil kreativiti mereka.

Kreativiti lahir daripada pelbagai pengalaman sambil meneroka dunia di sekeliling mereka.

Semoga Adel akan membesar dengan memiliki potensi dan bakat kreatif semulajadi. 

-Ameen-

Monday, January 3, 2011

Permulaan 2011

Selamat Tahun Baru 2011. 
Berlabuhnya tirai 2010, menjelma 2011...

[Adam merenung masa depan dengan azam 2011]

2010 baru sahaja melabuhkan tirainya. Dan saat ini kita telah pun berada di tahun yang baru. Tanpaku sedar pengembaraanku di bumi Aotearoa telah mencecah 3 bulan. Setiap detik yang berlalu merakamkan cerita suka dan duka. Ada kenangan manis dan pahit. Ada harapan yang tidak tertunai. Itulah namanya kehidupan. Kita insan biasa hanya mampu merancang kerana Allah menentukan segala-galanya. Tahun baru ini, kami berazam ingin mengamalkan konsep gaya hidup yang lebih sihat. Bersenam, diet pemakanan yang seimbang dan mengira jumlah keperluan harian kalori pemakanan yang diambil.

[Berehat sebentar selepas membakar 84 kalori di Hagley Park]

Semoga tahun ini membawa lebih berkat, rahmat dan ketenangan dalam hati kita semua. 

-Ameen-