Tuesday, October 19, 2010

Gempa susulan kembali bergegar di Christchurch.



Allah Hu Akbar !!!
Christchurch terus bergegar lagi apabila gempa susulan dengan kekuatan 5.0 magnitud pada skala Richter berlaku dalam tempoh 15 ke 20 saat.
Menerusi sumber GeoNet, gempa susulan yang melanda awal hari ini dikesan pada jam 11.32 pagi, pada kedalaman 9km berpusat kira-kira 10km ke Selatan-Barat Christchurch. Ekoran kejadian yang baru melanda itu, telah membuatkan kepalaku rasa pening malah hampir sahaja mahu termuntah. 
Tika aku menulis entri kali ini, kepalaku masih lagi berdenyut-denyut.
"Ya Allah, kuatnya gegaran kali ini". 
Ketika kejadian, aku dengan pantasnya menarik anakku Adel dan menggendong Adam yang sedang menangis teresak-esak masuk ke bawah meja. Dalam keadaan cemas dan masih terkejut itu, Adel sempat berkata, "Mama, mama kita nak main sorok-sorok ke mama?". 
Aku membiarkan sahaja soalan Adel itu tidak berjawab. Jantungku sudah berdegup dengan kencang. Seluruh tubuhku menggeletar. Ini adalah kerana kejadiannya berlaku tanpa amaran, menakutkan dan menggerunkan sesiapa sahaja.
Tiba-tiba kerusi dan meja tempat kami berlindung mula bergegar kuat. Rumah sudah mula bergoyang-goyang seolah-olah dipukul oleh gerakan ombak yang bergelombang besar dan bergulung-gulung. Aku tidak pasti apa yang perlu dilakukan lagi. 
Aku cuba bersikap tenang dan mengawal diriku. Semoga gempa susulan kali ini bergegar untuk masa yang singkat, cuma beberapa saat sehingga ianya berakhir. 




No comments:

Post a Comment